KEMENTERIAN Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dengan kerjasama Institut
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah melancarkan satu inisiatif nasional bersejarah yang dikenali sebagai Ikrar Integriti Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).
Inisiatif ini menyasarkan pengumpulan 350,000 ikrar daripada para pekerja di seluruh negara sebagai simbol komitmen bersama dalam memperkukuh budaya kerja yang selamat dan sihat di Malaysia.
Usaha ini turut mencerminkan peranan proaktif negara dalam memperkasa agenda keselamatan dan kesihatan pekerjaan di peringkat nasional dan serantau.
Kempen ini dilancarkan pada Sambutan World OSH Day 2025 pada 28 April 2025 di MMU Cyberjaya, dan akan berakhir pada 4 Ogos 2025, bertepatan dengan ASEAN Worker Safety & Health Summit 2025 sempena kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun 2025.
Inisiatif ini membawa mesej penting bahawa keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah tanggungjawab bersama yang harus dipikul oleh semua dari pekerja di lapangan hingga ke barisan pengurusan tertinggi, termasuk pelajar sebagai tenaga kerja masa depan.
Namun lebih daripada sekadar rekod, inisiatif ini mencerminkan iltizam nasional untuk menjadikan keselamatan dan kesihatan
pekerjaan sebagai nilai teras budaya kerja negara.
Matlamat utama kempen ini termasuk:
- Meningkatkan kesedaran nasional terhadap pentingnya KKP.
- Menanam nilai integriti dan budaya kerja selamat.
- Memperluas amalan terbaik KKP merentas semua sektor pekerjaan.
- Menyatukan pekerja Malaysia di bawah satu komitmen nasional.
KESUMA KOMITED LINDUNGI SETIAP PEKERJA
Sebagai peneraju dasar perburuhan, KESUMA memainkan peranan teras dalam membudayakan keselamatan tempat kerja yang progresif dan
inklusif. Menerusi pelbagai platform digital dan fizikal, warga kerja di semua sektor awam, swasta, informal dan gig diberikan akses
untuk menyatakan komitmen mereka terhadap keselamatan diri, rakan sekerja dan persekitaran kerja.
KESUMA melihat usaha ini sebagai pemangkin kepada perubahan sikap dan amalan di tempat kerja, agar setiap warga
kerja sedar bahawa keselamatan adalah tanggungjawab bersama, bukan pilihan. Ia juga memperkukuh usaha JKKP dalam menjadikan amalan keselamatan sebagai budaya kerja nasional merentas semua sektor.
SATU IKRAR, PERMULAAN BUDAYA BAHARU
Melalui pendekatan digital dan fizikal, pekerja boleh menyertai ikrar ini secara mudah melalui kod QR, laman sesawang rasmi dan aplikasi mudah alih JKKP.
Hebahan akan digiatkan melalui Kempen Ikrar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pelbagai saluran media sosial menggunakan hashtag rasmi #SayaJanjiSelamatSihat.
Semua organisasi, agensi kerajaan, sektor swasta dan industri disarankan untuk menganjurkan aktiviti lafaz Ikrar KKP dalam program mereka sebagai manifestasi sokongan terhadap inisiatif ini.
Malah, pelajar sekolah, penuntut kolej dan universiti turut diseru menyertai usaha ini sebagai generasi pekerja masa depan.
KESUMA menyeru semua pihak agar memainkan peranan aktif dalam menjayakan inisiatif ini demi menjadikan budaya kerja selamat sebagai tanggungjawab bersama.
Dengan sokongan semua, Malaysia bukan sahaja berpeluang mencipta rekod dunia, malah dapat memupuk kesedaran dan tanggungjawab
mendalam dalam kalangan rakyat terhadap kepentingan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Setiap ikrar yang dibuat membawa kita lebih dekat kepada rekod dunia tetapi lebih penting, ia membawa kita lebih hampir kepada budaya kerja yang melindungi nyawa, kesihatan dan masa depan semua. – UTUSAN