Kementerian, jabatan perlu adaptasi pelaksanaan perakaunan pengurusan

Kementerian, jabatan perlu adaptasi pelaksanaan perakaunan pengurusan

WAN Suraya Wan Mohd. Radzi merasmikan Seminar Perakaunan Pengurusan Tahun 2025 bertemakan ‘Perakaunan Pengurusan: Daripada Data Kepada Pembuatan Keputusan’ yang dianjurkan JANM di Putrajaya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua kementerian dan jabatan perlu mengambil peluang mengadaptasi pelaksanaan perakaunan pengurusan yang dapat membantu meningkatkan kecekapan serta keberkesanan perkhidmatan.

Akauntan Negara, Nor Yati Ahmad berkata, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) melalui Bahagian Akaun di semua kementerian juga bersedia membantu memberikan khidmat nasihat kepada unit berkaitan dan disesuaikan dengan keperluan kementerian berhubung pelaksanaan perakaunan pengurusan.

Menurutnya, pelaksanaan perakaunan pengurusan telah bermula sejak 2020 namun berdasarkan statistik sehingga tahun lalu, terdapat beberapa kementerian yang menggunakan perakaunan pengurusan dengan cemerlang namun masih terdapat kementerian perlu meningkatkan lagi pelaksanaannya.

“Walaupun telah dilaksanakan bermula 2020, tetapi kita masih membina pengetahuan dan kompetensi di kalangan penjawat awam, terutamanya akauntan, tetapi kita juga menggalakkan yang bukan akauntan untuk mengambil pengetahuan ini sebab ia melibatkan data-data kewangan dan bukan kewangan.

“Untuk makluman, kita juga akan memperluaskan dan memantapkan lagi bidang ini melalui seminar dengan kerjasama yang telah diberikan oleh KSN (Ketua Setiausaha Negara) sendiri dan Ketua Audit Negara agar dapat memberikan motivasi kepada penjawat awam dalam memperkukuhkan lagi pengurusan kewangan negara. Itu lah tujuan asal seminar ini diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Seminar Perakaunan Pengurusan Tahun 2025 bertemakan ‘Perakaunan Pengurusan: Daripada Data Kepada Pembuatan Keputusan’ yang dianjurkan oleh JANM di sini hari ini.

Seminar dirasmikan oleh Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi mewakili Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Nor Yati berkata, perakaunan pengurusan membantu kementerian dan jabatan membuat keputusan yang lebih tepat berdasarkan data-data yang diperoleh, nilai terbaik untuk wang (best value for money) dan penggunaan sumber secara optimum.

Jelasnya, keputusan itu akhirnya mengubah landskap pengurusan kewangan kerajaan seterusnya dapat melaksanakan tata kelola yang baik ke arah pencapaian pengurusan fiskal yang lebih cekap dan berkesan sertaa merangsang peningkatan tahap akauntabiliti serta membantu perkembangan ekonomi negara.

“JANM yakin dapat membantu kerajaan dalam mengawal perbelanjaan dengan merancang strategi kewangan secara berkesan termasuk membuat penilaian atas pelaburan, mengenal pasti punca pembaziran dan membentuk kawalan dalaman yang lebih telus serta mengurus projek atau aktiviti berdasarkan risiko,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN