Kekurangan infrastruktur jejas pasaran EV

Kekurangan infrastruktur jejas pasaran EV

KEKURANGAN infrastruktur sokongan terus melambatkan kadar penggunaan lebih meluas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekurangan pelaburan dalam infrastruktur pengagihan tenaga berpotensi menjejaskan prospek penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, menurut BIMB Securities.

Firma penyelidikan itu berkata, kelemahan ketara dalam sistem pengedaran tenaga boleh menyebabkan kesesakan struktur, terutamanya disebabkan ketiadaan penaiktarafan proaktif pencawang dan talian penyuap tambahan.

“Keadaan ini dapat dilihat di kawasan bandar berkepekatan tinggi dan taman perumahan lama, sekali gus mewujudkan kekangan terhadap skala pengecasan di kediaman,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut firma itu, pasaran EV tempatan ketika ini cenderung memihak kepada pemilik rumah bertanah atau mereka yang mempunyai akses kepada infrastruktur pengecasan awam sedia ada.

Bagaimanapun, BIMB Securities berkata, masa depan pasaran EV negara kekal positif, didorong oleh insentif struktur serta peningkatan kesedaran terhadap amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Namun, kekurangan infrastruktur sokongan terus melambatkan kadar penggunaan lebih meluas, selain tahap ketahanan grid masih belum menunjukkan peningkatan material di semua kawasan. 

“Dalam hal ini, kami melihat wujudnya potensi kepada kontraktor yang terlibat dalam projek penaiktarafan grid dan pengagihan tenaga berkaitan EV di seluruh negara.

“Namun, kami kekal berhati-hati terhadap prospek pengeluar peralatan asal (OEM) dan pemain infrastruktur EV yang pada masa ini lebih tertumpu kepada segmen kediaman,” ujarnya.

Firma itu memaklumkan kapasiti penjanaan elektrik Malaysia ketika ini ialah 27,288 megawatt (MW) dan dijangka meningkat kepada 40,000 MW menjelang 2029.

“Namun, cabaran sebenar terletak pada aspek pengedaran tenaga, memandangkan pencawang dan talian penyuap sedia ada, khususnya di kawasan bandar, tidak mampu menyokong beban pengecasan EV antara 11 hingga 20 kilowatt (kW) setiap isi rumah.

“Isu ini menjadi lebih meruncing apabila beberapa unit kediaman mengecas secara serentak, menyebabkan lonjakan permintaan tenaga secara setempat dan berisiko mengakibatkan gangguan bekalan,” katanya.

Justeru, BIMB Securities berkata, perlu ada pelaksanaan beberapa tindakan utama bagi memastikan penggunaan EV dapat ditingkatkan secara mampan.

“Antaranya termasuk menyediakan insentif kepada pembangunan industri kitar semula bateri tempatan bagi mengurus sisa bateri akhir hayat dan menyokong penggunaan semula untuk hayat kedua.

“Selain itu, teknologi pengurusan beban pintar juga harus digalakkan, khususnya bagi pengecas EV di rumah dan premis komersial yang dapat mengimbangi penggunaan tenaga serta mengurangkan tekanan pada grid nasional,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN