PETALING JAYA: Keuntungan Petronas Chemicals Group Bhd. (Petronas Chemicals) dijangka terus berada di bawah tekanan dalam suku-suku akan datang berikutan kelemahan berpanjangan dalam penyebaran olefin dan derivatif (O&D).
Maybank Investment Bank Bhd. (Maybank IB) berkata, subsektor O&D kekal suram disebabkan lebihan bekalan serantau yang berterusan, terutamanya dari China.
Katanya, penyebaran O&D terus melemah pada suku kedua 2025 dan kini berada pada paras terendah dalam beberapa tahun sejak pandemik Covid-19 pada separuh pertama 2020.
“Situasi ini berpunca daripada lambakan bekalan serantau yang berterusan, didorong oleh kemunculan kompleks petrokimia baharu di rantau ini, khususnya dari China, berikutan usaha negara itu untuk mencapai sara diri dalam pengeluaran kimia.
“Kami sedang memantau perkembangan industri secara dekat untuk mengenal pasti sebarang petunjuk pemulihan, memandangkan kebanyakan pemain petrokimia berasaskan nafta sedang mencatatkan kerugian dalam persekitaran semasa,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Dalam pada itu, firma itu berkata, pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) boleh menyebabkan kerugian pertukaran asing belum nyata (forex), susulan ringgit mengukuh lima peratus kepada 4.21 berbanding dolar AS pada akhir Jun 2025 daripada 4.43 pada akhir Mac 2025.
“Berdasarkan tren sejarah, Petronas Chemicals lazimnya melaksanakan penilaian mark-to-market dan merekodkan kesan pertukaran mata wang asing ke atas asetnya pada setiap suku tahun.
“Keuntungan utama syarikat bagi suku kedua berkemungkinan terjejas akibat penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada Pengerang Petrochemical Company (PPC), selain penilaian semula liabiliti PPC.
“Berdasarkan anggaran kami, Petronas Chemicals mungkin merekodkan keuntungan teras yang lebih lemah bagi suku kedua disebabkan penutupan operasi di PRefChem dan kejatuhan penyebaran O&D,” ujarnya.
Bagaimanapun, Maybank IB tidak menolak potensi peningkatan keuntungan sekiranya PPC yang dimiliki 50 peratus oleh Petronas Chemicals memperoleh diskaun khas daripada PRefChem.
“Ini bergantung kepada keuntungan operasi PRefChem susulan margin penapisan kasar yang menggalakkan baru-baru ini.
“Subsidi ini berpotensi mengimbangi kerugian PPC dan seterusnya membantu memperkukuh prestasi kewangan Petronas Chemicals dalam separuh kedua 2025,” katanya.
Maybank IB mengekalkan saranan ‘jual’ ke atas saham Petronas Chemicals dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.59 sesaham. – UTUSAN










