Kehilangan Pamela tiada kaitan dengan ahli politik

Kehilangan Pamela tiada kaitan dengan ahli politik

RUSDI. Mohd Isa ketika ditemui pemberita pada Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara bersama Media Tahun 2025 di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh sejak 9 April lalu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana ahli politik di negara ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, siasatan polis terhadap kes kehilangan Pamela Ling tidak menjurus kepada penglibatan individu yang didakwa.

“Keterangan-keterangan saksi yang kita ambil tidak menjurus kepada itu,” katanya dalam Majlis Apresiasi KPN Bersama Media di Bukit Aman di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Rusdi berkata, keterangan seramai 47 individu telah diambil termasuk suami dan anak-anak Pamela Ling.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, proses merakam keterangan terhadap empat individu terdiri anak-anak Pamela Ling diambil di Singapura dan selebihnya di negara ini. 

“Selain anak-anak, kita juga ada rakam keterangan seorang individu yang rapat dengan Pamela Ling di Singapura,” jelasnya.

Ketika ditanya sama ada individu berkenaan adalah teman lelaki Pamela Ling, beliau enggan mengulas mengenai perkara itu.

Rusdi memberitahu, penahanan reman terhadap suami Pamela Ling ditolak sebelum ini oleh mahkamah kerana tiada keperluan perkara itu dibuat memandangkan lelaki itu memberi kerjasama yang baik.

“Pada awalnya, kita mahu reman suaminya di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah tetapi permohonan itu ditolak. 

“Jadi, kita guna sepenuhnya tempoh 24 jam dia ditahan untuk kita lakukan siasatan,” jelasnya.

Pada 9 April lalu, Pamela 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menaiki kereta perkhidmatan e-hailing.

Pihak polis menerima laporan berhubung kehilangannya pada pukul 3.02 petang hari yang sama. 

Difahamkan, Pamela tinggal di Singapura bersama tiga anak terdiri daripada seorang anak lelaki serta dua anak perempuan. 

Sekurang-kurangnya lapan individu dan lima kenderaan terbabit dalam penculikan Pamela.

Antara kenderaan digunakan termasuk dua Nissan Teana serta masing-masing sebuah Toyota Camry, Perodua Myvi dan Nissan Almera. 

Tiga kenderaan dikenal pasti menghalang laluan kereta e-hailing dinaiki mangsa, manakala dua lagi bertindak memantau persekitaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN