JOHOR BAHRU: Keengganan dua beradik menaiki van untuk ke sekolah di Permas Jaya, di sini membawa pembongkaran perbuatan keji pemandunya yang pernah mencabul mereka sebelum ini.
Difahamkan, dua beradik berusia lapan dan sembilan tahun itu beberapa kali menjadi sasaran pemandu van sekolah tersebut yang menyentuh kemaluan mangsa ketika menghantar mereka ke sekolah.
Perbuatan jijik pemandu berusia 42 tahun diceritakan kepada ibu mereka yang kemudian membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada pukul 11.15 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, susulan laporan itu, pihaknya telah menahan pemandu tersebut di rumahnya di kawasan Plentong pada pukul 9.50 malam tadi.
“Hasil siasatan mendapati suspek melakukan amang seksual terhadap dua beradik itu di dalam van sekolah di tepi Jalan Permas 1/1, Khamis lalu.
“Suspek yang sudah berkahwin dipercayai melakukan perbuatan tersebut beberapa kali terhadap mangsa dengan menyentuh kemaluan kanak-kanak tersebut,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Pemeriksaan perubatan yang dibuat ke atas kedua-dua mangsa mengesahkan tiada kecederaan fizikal.
Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – UTUSAN