PETALING JAYA: Pemilik pangsapuri di Bandar Sunway di sini, dikesan mengubah suai kediaman mereka menjadi bilik kecil dan premis perniagaan untuk disewakan kepada warga asing.
Tindakan tersebut dikesan melalui Op Mega oleh Jabatan Imigresen bersama pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya, bermula pukul 9 malam tadi.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, pemeriksaan mendapati beberapa unit kediaman disalah guna bagi menjana pendapatan tanpa mematuhi peraturan ditetapkan.
Kata beliau, sepanjang tahun lalu, MBPJ menerima sebanyak 22 aduan berkaitan salah guna kediaman, manakala bagi tahun ini pula, sebanyak 11 aduan telah direkodkan setakat ini.
“Daripada jumlah itu, tujuh premis telah menghentikan operasi tanpa lesen selepas diberi notis, manakala empat lagi masih dalam tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi operasi di sini, semalam.
Antara kesalahan dilakukan ialah pengubahsuaian dalaman unit pangsapuri dengan membina sekatan kecil bagi dijadikan bilik-bilik sewa.
Terdapat juga pemilik mengubah suai kediaman mereka menjadikan premis perniagaan seperti kedai runcit, salun dan kedai makan tanpa lesen sah.
“Tindakan tersebut menyalahi undang-undang kerana sebarang pengubahsuaian struktur kediaman perlu mendapatkan kelulusan MBPJ. Kita percaya bilik-bilik kecil ini dijadikan sebagai asrama atau tempat penginapan pekerja asing.
“Kebanyakan perniagaan itu dijalankan di aras satu dan dua pangsapuri, melibatkan penjualan barangan runcit dan makanan kepada komuniti warga asing di kawasan berkenaan,” katanya.
Menurut Mohamad Zahri, MBPJ telah mengeluarkan amaran dan notis peringatan kepada pemilik unit yang didapati menyalah guna premis masing-masing.
“MBPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
“Kita juga akan terus menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil terhadap pihak yang masih ingkar,” katanya.
Dalam operasi sama, seramai 1,597 warga asing melibatkan pelbagai warganegara telah diperiksa dan hasilnya, seramai 597 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 125 wanita, berusia antara 11 hingga 59 tahun ditahan.-UTUSAN