Kastam Perlis rampas rokok termasuk cukai lebih RM50,000 

Kastam Perlis rampas rokok termasuk cukai lebih RM50,000 

ISMAIL Hashim (empat dari kanan) menunjukkan rokok-rokok yang dirampas dalam sidang akhbar di Setor Penguatkuasa JKDM Padang Besar, Perlis, hari ini. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas 73,040 batang rokok pelbagai jenis dengan nilai keseluruhan termasuk cukai sebanyak RM50,563.80.

Rampasan itu dibuat menerusi maklumat risikan dan serbuan dilakukan sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasa Kuala Perlis di sebuah premis di Lorong Amaryn 7, Bukit Banyan, Sungai Petani, Kedah, pada Selasa minggu lalu. 

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, hasil pemeriksaan menerusi serbuan pada pukul 1.30 petang itu telah menemukan sejumlah rokok pelbagai jenis disyaki barangan larangan di dalam sebuah bilik yang berada di ruang tamu premis berkenaan. 

“Rokok adalah barangan larangan di mana ia tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kastam sebagaimana ditetapkan dalam Butiran 1 dan Butiran 3, Jadual III, Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya dalam sidang akhbar di Setor Penguatkuasa Kastam Padang Besar, di sini, hari ini. 

Hashim berkata, modus operandi digunakan suspek adalah dengan menggunakan premis sebagai tempat penyimpanan barangan terlibat sebelum diedar ke kawasan sekitar. 

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata, seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rampasan 24,210 batang rokok bersama 113.25 liter minuman keras di sebuah premis sekitar Jalan Chong Sun, Pokok Assam, Taiping, Perak, pada 17 Mei lalu. 

Ujarnya, menerusi siasatan awal, semua rampasan itu dianggarkan bernilai RM11,173.52 dengan membabitkan cukai berjumlah RM19,681.41.

“Semasa serbuan berkenaan, pihak kami telah menemui rokok dan minuman keras itu di dalam tiga buah kenderaan yang diparkir di hadapan premis terlibat. Siasatan bagi kes ini masih dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. 

Dalam kes berasingan, Ismail berkata, pihaknya juga berjaya merampas 7,256 unit tayar motosikal yang dipercayai tidak diikrar dengan lengkap menerusi pemeriksaan ke atas dua kontena di Pelabuhan Klang, Selangor, pada Selasa minggu lalu sekitar pukul 10 pagi. 

Katanya, menerusi siasatan dilakukan, semua tayar motosikal itu dianggarkan bernilai RM345,009 dan melibatkan cukai bernilai RM125,928.29.

“Modus operandi bagi kes ini adalah di mana pihak terlibat didapati membuat pengikraran tidak benar bagi menggelakkan cukai. Kes masih lagi disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN