SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas dadah jenis bunga ganja dianggarkan bernilai RM62.5 juta dalam serbuan di Seri Kembangan, Selangor pada 2 Disember lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) JKDM, Siti Mang berkata, rampasan itu dibuat kira-kira pukul 3.50 petang hasil serbuan ke atas sebuah rumah teres dua tingkat yang dipercayai dijadikan lokasi pembungkusan dadah.
Katanya, hasil risikan mendapati kegiatan tersebut telah dilakukan sejak bulan September lalu.
“Pemeriksaan ke atas rumah berkenaan menemukan 17 kotak cadar serta beberapa bungkusan aluminium foil yang mengandungi leraian tumbuhan berwarna hijau disyaki dadah berbahaya jenis bunga ganja.
“Anggaran berat kasar rampasan adalah 638 kilogram (kg) dengan nilai dianggarkan sebanyak RM62,519,100,” katanya pada sesi sidang akhbar di Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat JKDM, Kampung Jijan, Nilai di sini hari ini.
Siti berkata, tiada tangkapan dibuat ketika serbuan dijalankan namun pemeriksaan ke atas maklumat rumah berkenaan mendapati ia disewakan kepada warga asing namun pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan rakyat tempatan.
“Rumah berkenaan dipercayai dijadikan sebagai tempat membungkus dadah sebelum dipasarkan ke luar negara.
“Sindiket dipercayai menyembunyikan bunga ganja di dalam kotak cadar bagi mengaburi mata pihak berkuasa dengan maklumat dagangan pada bungkusan dinyatakan sebagai microfiber bedsheet,” katanya.
Katanya, selain dadah, pihaknya turut menyita sebuah motosikal, sebuah mesin pengedap haba (heat seal machine), sebuah alat penimbang serta bahan pembungkusan yang dipercayai digunakan bagi tujuan pemprosesan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN










