PETALING JAYA: Operasi mencari dan menyelamat seorang kanak-kanak perempuan berbangsa Rohingya yang hilang selepas terjatuh ke dalam longkang di hadapan dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Kampung Cheras Baru petang semalam diteruskan pagi ini.
Ia selepas operasi tersebut dihentikan pada pukul 10.30 malam semalam disebabkan cuaca buruk.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun telah terjatuh berkenaan bersama seorang lagi rakan perempuannya berusia 11 tahun.
Jelasnya, selepas menerima laporan kejadian pada pukul 6.07 petang, pihaknya bersama anggota bomba telah bergegas ke tempat kejadian.
“Salah seorang berjaya diselamatkan oleh orang awam manakala seorang lagi dihanyutkan air.
“Mangsa pertama berjaya diselamatkan membabitkan kanak-kanak berusia 11 tahun manaka mangsa kedua berusia 10 tahun masih belum ditemukan.
“Kedua-dua mereka berbangsa Rohingya dan usaha mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan,” katanya. – UTUSAN