KUALA LUMPUR: Diva tersohor, Ziana Zain menyifatkan konsert Empat Live In Kuala Lumpur sebagai hasrat yang akhirnya menjadi kenyataan.
Kata Ziana, konsert itu adalah hadiah untuk peminat yang lama menanti dia, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel berkongsi pentas.
“Peminat sebelum ini selalu menanyakan tentang perkara ini. Saya hanya minta mereka doakan.
“Alhamdulillah, Allah kabulkan doa dan izinkan pada tahun ini kami berempat beraksi satu pentas dalam kpnsert istimewa.
“Ia memang menjadi impian saya juga. Saya minta peminat doakan agar konsert ini nanti berjalan lancar,” jelasnya.
Konsert Empat Live In Kuala Lumpur bakal menggegarkan Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 18 Oktober ini. Harga tiket dijual antara RM288 hingga RM1088.
Kata penyanyi lagu Anggapanmu itu, peminat pertama kalinya bakal menyaksikan persembahan istimewa dua generasi pada konsert itu nanti.
“Apa yang boleh kami janjikan adalah persembahan terbaik empat penyanyi dengan cara dan kekuatan masing-masing.
“Jika sambutan memberansangkan, kalau ada malam kedua seronok juga,” katanya berseloroh. – UTUSAN