Kadar pengangguran belia di Melaka hanya 1.8 peratus

Kadar pengangguran belia di Melaka hanya 1.8 peratus

AB. RAUF Yusoh bersama pemenang APBN sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri 2025 di Taman Rekreasi Bukit Serindit, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kadar pengangguran bagi suku keempat 2024 di Melaka menurun kepada 1.8 peratus berbanding 2.6 peratus pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, ia membuktikan keberkesanan dasar kerajaan negeri dalam merancakkan peluang pekerjaan terutamanya kepada belia merangkumi kebolehpasaran kerja, keusahawanan, pendidikan, pembangunan sahsiah, sosial dan nilai keagamaan.

Katanya, kerajaan negeri juga memberi penekanan kepada pemerkasaan anak muda berkemahiran tinggi melalui pengukuhan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

“Usaha ini bukan sahaja untuk memenuhi kehendak industri, tetapi ingin meletakkan Melaka sebagai pusat TVET negara. Kita mahu anak Melaka bukan sahaja mampu bersaing tetapi menjadi pilihan utama industri.

“Semua ini adalah cerminan iltizam kerajaan negeri bahawa kita bukan sekadar melihat belia sebagai penyokong dasar tetapi rakan strategik dan peneraju pembangunan negeri.

“Kita akan terus mewujudkan ekosistem yang kondusif daripada sudut infrastruktur, peluang dan bimbingan agar segala inisiatif pembangunan belia memberi impak yang mampan dan berkekalan,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri 2025 di Taman Rekreasi Bukit Serindit di sini, semalam.

Tambah Ab. Rauf, kerajaan negeri turut memperkenalkan Rumah Belia Melaka (RBM) iaitu skim perumahan belia pertama seumpamanya di Malaysia dengan penyediaan 1,754 unit rumah bagi membantu pemilikan kediaman pertama.

Sementara itu, daerah Jasin mengungguli Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) apabila meraih dua daripada tiga kategori yang dipertandingkan.

Asmah Sulaiman dari Bukit Tembakau, Jasin muncul juara kategori individu wanita merangkul piala, sijil dan wang tunai RM3,500; Gerakan Belia 4B Solok Kilang Berapi dinobatkan juara kategori pertubuhan belia menerima piala dan wang tunai RM11,000 manakala kategori individu lelaki menjadi milik Mohamad Norshah Ezwan Yusoh dari Melaka Tengah membawa pulang RM3,500.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN