JKDM gagalkan penyeludupan besi sekerap RM1.6 juta

JKDM gagalkan penyeludupan besi sekerap RM1.6 juta

SEBAHAGIAN besi sekerap yang dirampas JKDM di Zon Bebas Pelabuhan Barat, Klang - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Cubaan menyeludup 272.6 tan besi sekerap bernilai RM1.64 juta yang diikrarkan sebagai komponen kenderaan terpakai gagal apabila dirampas pihak berkuasa di Zon Bebas Pelabuhan Barat di sini, bulan lalu.

Perkara itu dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas menahan 12 kontena menerusi beberapa siri pemeriksaan dan sitaan.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Raizam Setapa @ Mustapha berkata, siasatan awal mendapati kesemua besi sekerap itu diimport daripada beberapa negara di benua Asia, Amerika dan Eropah.

Jelas beliau, bahan itu antaranya diikrarkan sebagai alternator, campuran tembaga dan komponen kenderaan terpakai.

“Kesemua barangan dagangan itu dianalisa pihak berkaitan sebelum disahkan sebagai besi sekerap.

“Kami percaya besi itu digunakan bagi tujuan proses kitar semula di negara ini,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Kastam Pulau Indah di sini, petang ini.

Menurut Raizam, semakan mendapati besi itu tidak mempunyai permit import yang dikeluarkan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM).

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) dan Seksyen 133 (1) (a) Akta Kastam 1967.

“Penyeludupan besi sekerap ini didapati tidak bermusim dan melibatkan pengimport yang berbeza,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN