KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini menyerbu tiga kilang yang disyaki menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pekerja menerusi Op Mahir di sekitar Jalan Kuchai Lama dan Jalan Chan Sow Lin, di sini hari ini.
Menerusi serbuan tengah hari tadi, seramai 352 individu diperiksa terdiri daripada 295 lelaki dan lapan wanita.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, hasil pemeriksaan, seramai 26 warga asing disyaki bekerja secara haram ditahan membabitkan warganegara Bangladesh, Nepal, India, Myanmar dan Nigeria.
“Dua lelaki tempatan yang bertindak sebagai majikan turut ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1963,” katanya selepas selesai operasi dijalankan.
Wan Saupee berkata, sebanyak empat borang Imigresen 29 (saman kepada saksi) dikeluarkan sepanjang pemeriksaan.
Tambahnya, kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Hasil tinjauan Utusan Malaysia yang menyertai serbuan di sebuah kilang memproses barang lusuh di Jalan Chan Sow Lin, di sini, mendapati terdapat beberapa individu cuba melarikan diri namun gagal selepas ditahan pihak berkuasa. – UTUSAN