Jenayah seksual di Perlis meningkat 31 peratus

Jenayah seksual di Perlis meningkat 31 peratus

PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Jenayah seksual di Perlis tahun lalu meningkat sebanyak 31 peratus kepada 51 kes daripada 39 kes tahun sebelumnya.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, kebanyakan kes melibatkan hubungan seks suka sama suka membabitkan suspek dan mangsa bawah umur.

Beliau berkata, lebih membimbangkan, jenayah itu turut melibatkan murid berusia antara 12 hingga 16 tahun yang menjadi mangsa hingga hamil dan melahirkan anak.

Katanya, sebanyak 98 peratus kes jenayah seksual yang dilaporkan dilakukan suka sama suka antara suspek dan mangsa di bawah umur.

“Antara punca jenayah seksual berlaku terpengaruh atau penyalahgunaan platform media sosial seperti WhatsApp, TikTok, Facebook dan Telegram bagi mencari pasangan dan menjalin hubungan sebagai kekasih, seterusnya terjebak dengan seks.

“Perkenalan yang singkat di media sosial menyebabkan mangsa dan suspek melakukan hubungan seks, seterusnya terjerumus ke salah laku jenayah seksual.

“Perkara ini tidak harus diambil mudah kerana jumlah dan trend yang direkodkan semakin membimbangkan apabila berlaku peningkatan kes setiap tahun,” katanya pada program hari kesedaran jenayah peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hussein di sini, semalam.

Sementara itu, Muhammad memberitahu, kes buli melibatkan pelajar sekolah menunjukkan penurunan daripada sembilan kes pada 2023 kepada enam kes, tahun lalu.

Katanya, kes buli yang dilaporkan antaranya pergaduhan antara pelajar sehingga mendatangkan kecederaan, merusuh dan melakukan pemerasan serta khianat.

“Bagi menangani isu jenayah melibatkan kanak-kanak, polis juga sudah mengambil pelbagai inisiatif termasuk mengadakan kempen kesedaran di tadika, sekolah rendah dan menengah selain menggalakkan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat.

“Polis Perlis juga mempergiatkan kempen kesedaran jenayah melalui penglibatan semua jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ia bertujuan menyampaikan maklumat kepada komuniti dan masyarakat mengenai jenayah yang berlaku terhadap kanak-kanak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN