SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini dalam perancangan untuk memperluaskan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi memproses pelan bangunan.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Othman Abdullah berkata, projek rintis berkenaan buat masaini sedang dilaksanakan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim di Kedah dan BBP Kulai, Johor.
Menurutnya, projek berkenaan adalah sebagai usaha untuk mempercepatkan proses mendapatkan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) yang dijangka mampu disempurnakan dalam tempoh sehari berbanding cara manual kini yang mengambil masa 14 hari.
“Buat masa ini, projek rintis ini membabitkan bangunan tiga ke empat tingkat sahaja. Insya-Allah kita akan perluaskan teknologi ini membabitkan bangunan yang lebih besar lagi.
“Projek rintis menggunakan AI ini akan lebih cepat hasilnya, pantas dan berintegriti. Melalui teknologi ini juga, kita dapat lihat kepatuhan semua bangunan terutamanya pihak industri dalam penetapan peraturan pihak jabatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar Badan Peneraju Industri (ILB) Bidang Kebombaan Tahun 2025 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Malaysia Negeri Sembilan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, sempena program berkenaan, Othman menyatakan pihak industri kini dilihat mempunyai kesedaran yang lebih baik untuk bersama-sama mempelajari ilmu atau bidang kebombaan.
“Individu yang memasang sistem (dalam industri) mesti ada kelulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
“Malah, kami (JBPM) mahu semua pihak supaya lebih kedepan bersama agensi, industri, persatuan dalam bidang kebombaan ini untuk menggunakan satu sistem (bidang kebombaan) yang jauh lebih baik dari sekarang,” katanya. – UTUSAN