JOHOR BAHRU: Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menganggap jawatan yang baru dimenanginya kelmarin merupakan tanggungjawab besar dan kritikal yang perlu digalasnya.
Dia yang terkenal dengan gelaran Puteri Reformasi itu berkata, hal itu kerana Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri, yang menuntut tumpuan sepenuhnya.
“Presiden parti kita memegang amanah sebagai peneraju kerajaan, memikul tanggungjawab besar mengemudi negara dalam era penuh ketidaktentuan di tengah percaturan kuasa dunia seperti perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat.
“Maka, dalam keadaan ini, peranan Timbalan Presiden menjadi lebih kritikal untuk memperkukuh parti, memastikan urus tadbir berada pada landasan kukuh agar Presiden dapat memberi tumpuan penuh kepada pentadbiran negara,” katanya dalam kenyataanhari ini.
Sehubungan itu, Nurul Izzah memberikan antara langkah akan diambilnya adalah untuk memperkenal program universal di peringkat cabang dalam memperkasa jentera akar umbi.
“Program ini akan fokus kepada strategi meningkatkan jumlah penyokong, pendekatan efektif mendekati rakyat serta cara terbaik membantu komuniti di kawasan masing-masing.
“Kita tidak boleh biarkan pahlawan kita berjuang tanpa kekuatan. Kita akan pastikan setiap jeneral dan pahlawan parti, dari cabang hingga ke Pusat dilengkapi dengan kekuatan, ilmu, sumber dan semangat bagi menghadapi medan tempur politik yang mendatang,” ujarnya.
Beliau turut akui kemenangan itu bukan waktu untuk bersorak atau bersenang lenang.
“Sebaliknya ia waktu untuk bekerja lebih keras dengan melipat gandakan usaha untuk turun padang, mendengar, menyingsing lengan dan kembali ke medan ‘tempur lawan sebenar’.
“Kita tidak punya banyak masa. Jangan sia-siakan setiap peluang dan setiap saat yang kita ada,” katanya lanjut. – UTUSAN