MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan, sebarang pertikaian kecil dalam kalangan komponen Kerajaan Perpaduan tidak sepatutnya diperbesarkan, sebaliknya semua pihak perlu berpegang kepada semangat yang menjadi asas pembentukan kerajaan negeri hari ini.
Menurut beliau, prinsip yang diguna pakai di peringkat Kerajaan Persekutuan turut diterjemahkan sepenuhnya dalam pentadbiran negeri dan sebarang suara sumbang tidak seharusnya mengganggu-gugat keharmonian yang telah dibina.
“Benda ini sebenarnya tak perlu diperbincangkan kerana kita mengambil semangat Kerajaan Perpaduan untuk diterjemahkan dalam negeri Melaka.
“Kita tak boleh nak ‘supersed’ semangat itu, tempat yang kita menang, di situ kita bertanding,” katanya selepas merasmikan Program Gotong-Royong Perdana Ketua Menteri Melaka Bersama Warga Tentera di Rumah Kuaters Angkatan Tentera (RKAT) Desa Tun Razak, Sungai Udang di sini, hari ini.
Beliau mengulas pertikaian antara Setiausaha Publisiti DAP Melaka, Kerk Chee Yee dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh susulan cadangan pembahagian 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Barisan Nasional (BN) dan 14 lagi kepada Pakatan Harapan (PH).
Ia selepas sembilan cawangan DAP Melaka dilaporkan meluluskan resolusi strategi 14 BN + 14 PH pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka akan datang.
Mengulas lanjut, Ab Rauf menyifatkan kenyataan tersebut sebagai pandangan terpencil yang tidak mencerminkan pendirian rasmi mana-mana parti dalam kerajaan negeri.
“Kalau benda ini nak dipanjangkan, banyak pula akan jadi, kalau di Pulau Pinang pun kita bagi dua, boleh? Tak boleh, jadi kenapa pokok tak ada angin, tiba-tiba lalang bergoyang?
“Saya anggap ini hanya pandangan kecil yang tak perlu diperkatakan. Itu pun hanya dari cawangan, bukan dari pimpinan utama,” katanya.
Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri turut menegaskan bahawa hubungan antara BN dan DAP di Melaka dalam keadaan baik.
“Hubungan kita cukup baik, tanpa prasangka, semua wakil rakyat DAP pun ada, BN pun ada. Pandangan politik boleh datang dari mana-mana, tapi kita perlu berpegang kepada prinsip Kerajaan Perpaduan di negeri ini,” tegasnya.