SEREMBAN: Masyarakat di negeri ini diingatkan supaya tidak melepaskan spesies ikan asing ke perairan umum seperti sungai walaupun untuk tujuan menunaikan nazar.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, tindakan berkenaan memberi kesan negatif terhadap ekosistem semula jadi dan spesies ikan tempatan.
“Spesies ikan asing seperti keli Afrika mengganggu populasi ikan tempatan melalui persaingan makanan dan ruang hidup. Ini menyebabkan kepupusan spesies asli serta kerosakan habitat sungai,” katanya.
Beliau mengulas kejadian melibatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melepaskan puluhan ekor ikan keli Afrika ke sungai berhampiran Jalan Lee Sam di sini menggunakan struktur saluran dibina yang tular di media sosial.
Kasim menambah, hanya dua jenis ikan dibenarkan dilepaskan ke sungai, iaitu ikan kuyu dan ikan haruan kerana kesesuaiannya dengan ekosistem tempatan.
“Pihak jabatan telah mengambil tindakan segera selepas video kejadian tersebut tular pada 2 Mei lalu, dengan memberikan penjelasan kepada NGO terbabit tentang implikasi tindakan mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, beliau telah meminta pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk menutup kawasan tersebut sementara waktu.
“Masyarakat tidak boleh sewenang-wenangnya melepaskan ikan asing dan bina struktur untuk lepaskan ikan di perairan awam sesuka hati. Idea itu baik namun ini adalah kawasan awam dan perlu ikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN