KANGAR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri dan cabang melancarkan serangan balas terhadap Datuk Seri Rafizi Ramli yang menyentuh ketua mereka, Muhammad Kamil Abdul Munim dalam ucapan beliau di Kelantan baru-baru ini.
Antaranya, AMK Perlis yang kesal dengan kenyataan dikeluarkan oleh Rafizi apabila cuba mewujudkan persepsi tidak berasas mengaitkan Muhammad Kamil dengan pemilihan parti.
Ketuanya, Ahmad Azzin Izzad Bahanudin berkata, cubaan untuk mengheret nama Muhammad Kamil berhubung pemilihan parti itu adalah tidak wajar dan berniat jahat.
Katanya, kenyataan seperti itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah bertentangan dengan fakta yang sudah diketahui umum pemilihan parti itu telah diputuskan oleh biro politik PKR dan dimaklumkan pada 30 Oktober 2024.
“Pada masa itu, tidak timbul pula sebarang bantahan mahupun isu terhadap keputusan diadakan pemilihan tersebut sama ada daripada peringkat pimpinan tertinggi parti, akar umbi mahupun mana-mana calon,” katanya semalam.
Sebelum ini, Menteri Ekonomi itu mendakwa pemilihan kali ini adalah untuk memberi laluan kepada Muhammad Kamil bagi memegang jawatan Ketua AMK bagi sesi 2025-2028 dan ia merupakan peluang terakhir berikutan usianya sudah pun mencecah 35 tahun.
Kenyataan Ahli Parlimen Pandan itu mendapat respon balas daripada kebanyakan AMK negeri dan cabang yang mengutuk pendekatan negatif yang didakwa digunakan Rafizi menjelang perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu.
Selain itu, seramai 86 calon AMK Pusat juga menyuarakan kekecewaan terhadap tindakan Rafizi yang didakwa telah mencemar semangat keterbukaan dan persaingan sihat yang diamalkan dalam pemilihan parti setakat ini.
Tambah Ahmad Azzin berkata, serangan berbentuk spekulasi terhadap Muhammad Kamil mencerminkan ketakutan terhadap semangat perubahan yang dibawa oleh generasi baru.
Katanya, sebagai sayap muda parti, AMK Perlis percaya mengenai keperluan membina budaya politik yang sihat dan inklusif.
“Beliau (Muhammad Kamil) bukan sahaja layak untuk bertanding, tetapi juga telah membuktikan keupayaannya melalui kerja akar umbi, kehadiran di medan dan kesetiaan terhadap prinsip perjuangan parti.
“Mengkritik tanpa asas bukan cara membina parti dan kita harus menolak politik persepsi murahan dan memberi ruang kepada anak muda yang ikhlas mahu menyumbang. Pemilihan ini seharusnya menjadi medan persaingan idea, bukan platform menyebar keraguan terhadap integriti sesama ahli,” katanya yang juga Ketua AMK cabang Padang Besar.
Katanya lagi, AMK Perlis menyatakan solidariti penuh bersama Muhammad Kamil dan menyeru semua ahli parti untuk mengangkat semangat perpaduan bukannya perpecahan. – UTUSAN









