KUALA LUMPUR: Pengarah, Nadia Khan berharap filem arahannya, Gantung: Musketeer Code tidak dibandingkan dengan filem-filem arahan ayahnya yang juga pengarah filem, Datuk Hatta Azad Khan.
Nadia berkata, adalah tidak adil membandingkan filem pertama arahannya itu dengan naskhah-naskhah ayahnya sebelum ini.
“Sudah semestinya saya gementar bila dibanding-bandingkan tapi bagi saya kerana pengalaman beliau jauh lebih luas berbanding saya.
“Boleh sahaja kalau nak dibandingkan filem saya dengan dia tapi, bandingkan filem saya dengan filem pertama ayah saya,” katanya.
Dalam masa yang sama, Nadia turut mengakui bahawa gaya pembikinan filem sulungnya itu banyak dipengaruhi oleh ayahnya sendiri.
Malah, dia juga membesar dikelilingi karya-karya seni Hatta Azad Khan yang secara tidak langsung membentuk cita rasa dan minatnya terhadap dunia pengarahan.
“Saya memang tidak boleh lari dari dipengaruhi cara ayah saya buat filem. Saya membesar dengan filem dia dan menjadi pengaruh serta inspirasi yang besar dalam hidup saya.
“Ayah saya merupakan seorang penulis dan pengarah filem. Selalunya filem dia macam tu. Jadi, ada cara cara pembikinan filem dia yang saya belajar daripada dia dan apa yang saya belajar itu saya cuba untuk praktikkan,” jelasnya.
Filem Gantung: Musketeer Code merupakan adaptasi daripada novel popular Gantung yang pernah dijadikan siri televisyen pada tahun 2018.
Kini, karya tersebut diangkat ke layar perak menerusi syarikat produksi Neddo Works, sekali gus menandakan permulaan baharunya dalam dunia pengarahan filem tanah air.
Filem ini menampilkan barisan pelakon utama seperti Ikmal Amry, Ben Amir, Hafreez Adam, Brandon Salim (dari Indonesia) dan Shazia Rozaini. Mereka turut dibantu oleh pelakon lain seperti Gita Sucia (Indonesia), Taufiq Hanafidan Nelissa Nizam.
Filem ini turut diserikan pelakon berpengalaman seperti Bront Palarae dan Sofia Jane, serta beberapa penampilan istimewa daripada ramai pelakon tempatan berkaliber. – UTUSAN