PETALING JAYA: Penyanyi, Jaclyn Victor kembali bergelar isteri kepada jejaka, Calvin T Samuel, pada Ahad.
Dalam sebuah video yang dikongsikan rakan penyanyi, Liza Hanim, Jac dan pasangannya yang juga seorang pensyarah dilihat manis menyarungkan busana serba putih sambil tersenyum.
“Tahniah Jac dan Calvin, sayangku (panggilan kepada Jac), awak layak mendapatkan semua kebahagian di dunia ini.
“Calvin adalah orang paling bertuah kerana memiliki seorang wanita yang penyayang dan sangat baik hati seperti awak,” tulis Liza Hanim menerusi Instagram.
Turut hadir di majlis itu adalah rakan selebriti seperti Shila Amzah, Salamiah Hassan, Siti Nordiana dan Marsha Milan.
Terdahulu, Jac pernah berkahwin dengan seorang penyanyi Amerika Syarikat Shawn Rivera pada 2014.
Bagaimanapun perkahwinan mereka berakhir pada 2019 dan dikurniakan dua anak Jonah, 10, dan Molly, 8 -UTUSAN