KUALA LUMPUR: Pelakon, Isyariana, 34, sedia dikritik gara-gara babak ‘atas katil’ yang dilakonkannya dalam filem Balas Balik yang bakal menjengah pawagam seluruh negara bermula esok.
Jelasnya, babak tersebut, yang tidak keterlaluan, dijayakan sebelum dia memutuskan untuk berhijrah mengenakan hijab selepas pulang mengerjakan umrah baru-baru ini.
“Saya tak takut kalau netizen kecam saya sebab babak itu. Ia sekadar permainan watak, tambahan pula ketika melakonkannya, saya belum mengenakan hijab. Lagi pun, babak tersebut tidaklah melampau.
“Kalau ada yang keliru, saya boleh jelaskan. Kebetulan pula, sebelum berhijab pun, saya bukan seorang yang seksi.
“Kalau ada yang nak kecam pun, saya harap mereka lepas itu faham bahawa yang mereka tengok dalam filem adalah watak, bukan diri saya yang sebenarnya,” katanya.
Isyariana berkata demikian pada sidang media selepas tayangan perdana filem tersebut, semalam. Hadir sama adalah barisan pelakon antaranya Syukri Yahya, Tony Eusoff, Adam Lee, Meor Mohd. dan ramai lagi.
Kongsi pemilik nama penuh Isyariana Che Azmi itu, dia sebenarnya mengambil masa agak lama sebelum menerima tawaran pengarah, Feroz Kader untuk meakonkan watak Nadia dalam filem berkenaan.
“Pengarah beberapa kali minta persetujuan sebab pada masa, itu saya tak dapat memberi keputusan kerana babak ‘atas katil’ itu. Tapi, disebabkan watak, saya setuju. Namun tak adalah berlebihan, cuma nampak bahu saya sahaja,” kongsinya.
Bekas pelajar Akademi Fantasia 2016 itu pada masa yang sama memaklumkan selepas ini akan lebih selektif dalam pemilihan watak disebabkan penampilannya sekarang yang berhijab.
“Sekarang tak adalah saya nak ambil watak sebegitu. Cuma seperkara yang masyarakat perlu tahu bahawa saya ini pelakon dan tugas saya menjayakan naskhah yang dipertanggungjawabkan,” katanya
Filem Balas Balik mengisahkan siasatan dua anggota polis dalam menjejak dalang pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Global Communication, Tuan Roslan.
Filem ini turut dibintangi Marissa Yasmin, Zarul Umbrella, Josiah Lim, Maisara Sufia dan ramai lagi-UTUSAN