PETALING JAYA: Ringgit dijangka terus didagangkan dalam julat RM3.92 hingga RM3.96 minggu ini, dipengaruhi terutamanya oleh pergerakan dolar Amerika Syarikat (AS), manakala harga emas diramal kekal kukuh dalam persekitaran semasa disokong sentimen pasaran.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, keputusan Rizab Persekutuan (Fed) AS mengekalkan kadar faedah minggu lalu telah mengukuhkan semula dolar AS selepas mata wang itu melemah pada minggu sebelumnya.
“Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.13 peratus dalam tempoh lima hari, daripada sekitar 95 mata kepada 97 mata.
“Pasaran juga akan melihat penerimaan calon Pengerusi Fed baharu iaitu Kevin Warsh oleh Presiden AS, Donald Trump bagi menggantikan Jerome Powell yang dijangka bersara Mei ini.
“Langkah itu dilihat memberi petunjuk bahawa hala tuju Fed mungkin lebih selari dengan hasrat pentadbiran Trump untuk menurunkan kadar faedah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, perkembangan itu memberi tekanan sementara kepada harga emas, seiring pengukuhan DXY yang menjejaki prestasi dolar AS berbanding enam mata wang utama dunia.
Bagaimanapun, katanya, risiko geopolitik di Asia Barat, khususnya ketegangan antara AS dan Iran, berpotensi memberi kesan ketara kepada pasaran kewangan global.
“Situasi itu boleh mempengaruhi harga minyak mentah, nilai dolar AS dan harga emas.
“Jika ketegangan memuncak kepada tindakan ketenteraan, dolar AS dijangka melemah semula, manakala harga emas berpotensi melonjak melepasi paras AS$5,000 seauns.
“Dalam keadaan itu juga, DXY boleh susut semula ke sekitar 95 mata seperti direkodkan pada 28 Januari lalu,” ujarnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, ringgit kini semakin kompetitif dan menunjukkan aliran pengukuhan berbanding beberapa minggu lalu.
“Momentum ini disokong sentimen pasaran yang lebih positif serta asas ekonomi domestik yang bertambah baik.
“Mata wang tempatan dijangka kekal stabil atau mengukuh sedikit minggu ini, terutama jika dolar AS terus tertekan dan data ekonomi dalam negara kekal memberangsangkan.
“Pasaran juga telah mula membincangkan potensi penurunan kadar faedah Fed AS, yang biasanya melemahkan dolar As dan memberi ruang kepada mata wang seperti ringgit untuk menguat,” katanya.
Mengulas prospek emas, Abu Sofian berkata, dalam jangka pendek harga logam berharga itu dijangka kekal dalam zon positif atau sekurang-kurangnya stabil.
Menurutnya, harga emas berpotensi meneruskan kenaikan sekiranya faktor risiko terus menekan aset berisiko dan dolar AS kekal lemah.
“Permintaan emas sebagai aset lindung nilai terus meningkat susulan ketidakpastian ekonomi dan geopolitik global.
“Jangkaan bahawa Fed akan melonggarkan dasar monetari pada 2026 turut melemahkan dolar AS dan meningkatkan daya tarikan emas.
“Selain itu, ketegangan geopolitik berterusan, termasuk di Asia Barat, mendorong pelabur beralih kepada aset selamat seperti emas.
“Pembelian berterusan oleh bank pusat serta aliran masuk dana ke dalam ETF emas juga menyokong permintaan jangka panjang,” jelasnya. – UTUSAN










