PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru dunia Islam untuk bangkit sebagai satu kekuatan kolektif yang membawa harapan serta penyelesaian terhadap pelbagai krisis global yang sedang mencengkam masyarakat sejagat.
Berucap dalam ucaptama di KazanForum 2025 di Tatarstan, Anwar menekankan pentingnya kerjasama strategik antara negara-negara Islam dan Rusia diperkukuhkan melalui tindakan konkrit dalam bidang ekonomi, teknologi dan pembangunan insan.
Katanya, Malaysia menyambut baik ruang kerjasama tersebut dan bersedia memainkan peranan lebih aktif dalam memperkukuh hubungan strategik itu.
“Di bumi Tatarstan ini, saya temui semangat kental, keteguhan dan keberanian rakyat Tatar yang tidak pernah tunduk walau dilanda ujian seperti pernah digambarkan Leo Tolstoy dalam karyanya Haji Murat.
“Saya lihat semangat itu terzahir dalam forum ini daripada komitmen pimpinan seperti Rais Rustam Minnikhanov hingga ke usaha konkrit membina sinergi antara negara Islam dan Rusia dalam bidang ekonomi, teknologi dan pembangunan insan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada KazanForum 2025 yang berlangsung di Kazan, Tatarstan, semalam.
Anwar berkata, dunia Islam harus lebih serius meneroka potensi besar dalam industri halal dan kewangan Islam yang kini mencecah nilai lebih AS$3 trilion, namun belum dimanfaatkan secara menyeluruh.
Beliau turut mengetengahkan keperluan peralihan tenaga dan transformasi digital, seperti inisiatif ASEAN Power Grid yang boleh dijadikan contoh oleh dunia Islam dalam semangat kerjasama rentas sempadan.
Namun, Anwar mengingatkan bahawa semua kemajuan material mesti berteraskan nilai, akhlak dan kemanusiaan, dengan merujuk penderitaan di Gaza sebagai contoh jelas penindasan akibat geopolitik.
“Gaza adalah wajah sebenar bagaimana kemanusiaan dinafikan, hanya kerana kuasa dan sikap pilih kasih,” katanya.
Anwar amat menghargai sokongan Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Rais Rustam dalam menjadikan KazanForum sebagai medan dialog tulen dan pragmatik antara Rusia dan dunia Islam.
Anwar turut menyeru agar suara anak muda diangkat dan diberi pertimbangan serius dalam membentuk masa depan dunia Islam.
“Dalam dunia penuh pertarungan, kita tidak punya pilihan selain terus melangkah dengan keberanian. Seperti yang diungkap sasterawan agung Gabdullah Tukai lebih seabad lalu, To whom only life in malicious conflict was not? In your struggle to it do not concede at all,” katanya. – UTUSAN