Industri penternakan ayam perlu diperbesar agar bekalan mencukupi

Industri penternakan ayam perlu diperbesar agar bekalan mencukupi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan disarankan untuk memperbesar industri penternakan ayam dan telur ayam di negara ini agar bekalannya mencukupi dan harga yang lebih kompetitif sepanjang masa.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kerajaan perlu memperhalusi tindakan selain daripada menarik subsidi semata-mata antaranya mewujudkan persaingan dan menguatkuasakan undang-undang manipulasi harga.

“Berkali-kali kita cadangkan supaya besarkan industri ayam dan telur ayam ini agar bekalannya mencukupi dan harga lebih kompetitif. Buat masa ini ada empat peringkat penternakan ayam dan pembekalan telur ayam dalam negara.

“Jika mengikut peringkat penternakan  ini, masalah kartel dan monopoli dalam industri belum lagi diselesaikan. Kenapa kerajaan berterusan memberi subsidi? Kerana masih lagi berlaku aktiviti kartel dan monopoli dalam sektor penternakan, pemborongan dan peruncitan.

“Kita tahu tujuan menarik subsidi adalah untuk mengurangkan bebanan kerajaan dengan memberi subsidi kepada kartel-kartel ini dan mengekang warga asing daripada terus menikmati subsidi rakyat Malaysia tapi apa pula nasib pengguna,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Mohamad Yusrizal, empat peringkat penternakan itu merangkumi penternak super besar yang mana mereka memiliki ladang yang besar dan berkemampuan membekalkan anak ayam serta dedak untuk ayam.

“Peringkat kedua adalah penternak besar, mereka lebih kecil berbanding super besar dan biasanya menjalankan aktiviti penternakan anak ayam dan dedak secara kendiri atau mengambil daripada super besar. 

“Ketiga adalah peladang kontrak yang bergantung hayat kepada penternak super besar. Mereka memerlukan penternak peringkat pertama untuk mengedarkan anak ayam dan dedak. Peladang ini biasanya berada di daerah, atau kampung-kampung. 

“Apabila penternak super besar menaikkan harga, mereka ini juga akan menaikkan harga telur ayam kerana keputusan harga pembekalan adalah bergantung kepada pemain industri peringkat pertama,” katanya.

Beliau berkata, satu peringkat lagi adalah penternak mikro yang hanya menternak 1,000 ke 3,000 ekor ayam bagi kawasan tertentu dan bergantung hayat dengan peringkat ketiga untuk membeli anak ayam dan dedak ayam.

Sementara itu, ujar Mohamad Yusrizal, keputusan menarik semula subsidi telur ayam secara berfasa mencetuskan persoalan besar dalam kalangan pengguna, khususnya yang berpendapatan rendah.

Katanya, mereka tertanya-tanya sama ada harga bekalan itu akan kekal stabil atau kembali melambung seperti dahulu.

“Kestabilan harga dan bekalan selama ini didorong oleh beberapa faktor sehingga mengakibatkan berlaku lambakan telur ayam. Antaranya disebabkan penternakan ayam dan harga dedak serta jagung lebih stabil yang membolehkan industri mengeluarkan lebihan pengeluaran berbanding permintaan.

“Ia sekali gus mendorong penurunan harga kepada pengguna. Kedua kerana penurunan eksport telur sehingga memaksa kebanyakkan penternak menjual ke pasaran domestik yang lebih kecil dan perlu bersaing, serta faktor ketiga subsidi mencukupi kepada penternak iaitu 10 sen berbanding tujuh sen.

“Namun begitu, jangkaan kita subsidi telur ayam ini sekiranya ditarik, harga telur hanya akan stabil buat seketika atau akan berlaku kenaikkan harga telur ayam secara mendadak disebabkan faktor yang saya nyatakan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya