PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan peningkatan ketara dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2025, apabila naik 19 anak tangga ke kedudukan ke-88 dengan skor 56.09, menurut penilaian terkini oleh Reporters Without Borders (RSF).
Ia menyaksikan perubahan daripada kedudukan pada 2024, iaitu tempat ke-107 dengan skor 52.07.
Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia kini menduduki tangga kedua tertinggi, hanya di belakang Thailand yang berada di tempat ke-85.
Kedudukan negara ASEAN lain adalah seperti berikut, Brunei di tangga ke-97, Filipina (116), Singapura (123), Indonesia (127), Laos (150), Kemboja (161), Myanmar (169) dan Vietnam (173).
Indeks Kebebasan Media Dunia yang diterbitkan setiap tahun RSF menilai tahap kebebasan media di 180 negara dan wilayah.
Penilaian ini dibuat berdasarkan lima indikator utama iaitu, konteks politik, rangka kerja perundangan, ekonomi, sosiobudaya dan keselamatan.
Setiap negara diberikan skor daripada 100 dengan skor yang lebih tinggi mencerminkan tahap kebebasan media yang lebih baik.
Indeks ini sering dijadikan rujukan antarabangsa untuk membandingkan kebebasan media di seluruh dunia.
Indeks Kebebasan Media Dunia menilai tahap kebebasan media di 180 negara berdasarkan pada indikator utama termasuk persekitaran politik, perlindungan undang-undang, kebebasan editorial, ketelusan, dan keselamatan wartawan.-UTUSAN