Gara-gara sebuah watak dalam filem, pelakon dan pelawak, Joey Daud mengakui tidak menyangka karakter Daud M memberi sinar baru dalam kerjaya seninya sebagai seorang penghibur.
Kata Joey, watak itu dicipta khas untuk dirinya ketika membintangi filem arahan Allahyarham Mamat Khalid, 18 Puasa Di Kampung Pisang namun tidak menyangka mampu mencuit hati penonton.
“Figura yang bernama Joey Daud ini dikenali kerana watak Daud M. Watak itu memberikan impak yang sangat besar terhadap kerjaya saya.
“Malah, saya rasa identiti saya sebagai Joey sudah hilang kerana Daud M itu. Mana tidaknya, ke mana saja saya pergi orang akan panggil saya ‘wamwamsam’.
“Karakter tersebut juga muncul sebab ada sesetengah orang pelat huruf S. Jadi, untuk beri kelainan menerusi filem Mamat Khalid itu, saya jadikan watak itu pelat M. Alhamdulillah, watak itu melekat sampai sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ditanya sama ada sukar untuk membawa identiti Daud M tersebut, Joey mengakui adakalanya dia mengalami kesukaran untuk bertutur malah terbawa-bawa dengan karakter tersebut.
Namun, watak itu benar-benar memberi impak luar biasa dalam hidup pelawak yang berusia 52 tahun itu bahkan dirinya sudah ada pengikutnya sendiri.
“Pada awalnya, susah juga untuk bercakap dalam bahasa M itu. Apatah lagi sekarang sudah ada lagu dan saya perlu menyanyi. Saya kadang-kadang sampai tersasul ketika bercakap dengan orang.
“Saya tidak kisah jika watak itu menjadi identiti baru saya. Kalau itu yang buat orang sekeliling bahagia apa salahnya? Benda itu baik dan ramai yang suka.
“InsyaAllah, atas permintaan ramai, pada bulan Disember ini saya akan menjalani penggambaran filem Daud M Origin yang diarahkan oleh anak Allahyarham Mamat Khalid, Amen Khalid,” jelasnya.
Percubaan Terakhir Dalam Bidang Nyanyian
Baru sahaja melancarkan lagu yang berjudul Wamwamsam, siapa sangka, single yan diinspirasikan daripada watak Daud M itu membuka kembali lembarannya dalam bidang nyanyian.
Genap tiga dekad tidak kembali ke arena suara, Joey menaruh harapan yang tinggi agar percubaannya kali ini menjadi dan mendapat sambutan dalam kalangan pendengar.
“Banyak cabaran yang saya tempuhi untuk hasilkan lagu ini. Antara faktor utamanya ialah bajet, konsep yang kita ingin ketengahkan sebab saya sudah lama tidak keluarkan lagu.
“Saya suka buat perkara yang orang tidak boleh jangka. Itu juga yang saya sering terapkan dalam lawak saya,” kongsinya.
Hampir putus asa kerana fobia, pelawak itu menyifatkan Wamwamsam mungkin akan menjadi taruhannya yang terakhir sebagai seorang penyanyi sekiranya gagal mendapat sambutan.
“Saya sebenarnya gementar untuk kembali menyanyi. 30 tahun saya menyepi dari industri nyanyian kerana fobia selepas dua album saya terbitan Luncai Emas milik Datuk M Nasir iaitu Beradu Suratan dan Joey digam.
“Itu juga menjadi punca saya ceburi dunia lakonan sekitar tahun 2000. Kerjaya itu yang membuat saya berdiri teguh dalam industri seni sampai sekarang.
“Mujur saja, Datuk M Nasir datang memujuk saya untuk kembali menyanyi,” katanya. – UTUSAN