KUALA LUMPUR: Hukuman penjara pemandu kenderaan pacuan empat yang merempuh motosikal pasangan suami isteri sehingga parah di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Duta ditambah kepada enam bulan.
Hakim Mahkamah Tinggi, K. Muniandy memutuskan demikian selepas prosiding semakan terhadap K. Darmaraju, 32, yang mana sebelum ini lelaki tersebut dipenjara 30 hari oleh Mahkamah Majistret di sini.
Pada masa sama, Hakim Muniandy turut mengekalkan hukuman denda dan hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu selama lima tahun terhadap jurujual alat ganti kereta berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sabri Othman ketika berhujah, hukuman penjara 30 hari yang dikenakan terhadap tertuduh sebelum ini berlalu dengan sekejap selain denda RM12,000 juga telah dibayar.
“Berbanding dengan mangsa mengalami kecacatan kekal sepanjang hidupnya dan bergantung kepada bantuan ahli keluarga serta pihak hospital yang merawatnya,” kata Mohd. Sabri.
Sementara itu, peguam S. Vinesh yang mewakili tertuduh memohon supaya Hakim Mahkamah Tinggi tidak menganggu keputusan Mahkamah Majistret.
Sebelum ini, Darmaraju dipenjara 30 hari dan didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memandu secara melulu selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang didakwa ke atasnya.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 11 Mei lalu.
Mengikut pertuduhan, Darmaraju didapati memandu kenderaan pacuan empat roda dengan cara melulu di Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke pusat bandar sebelum Plaza Tol Jalan Duta di sini pukul 2.30 petang pada 10 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, kedua-dua mangsa sedang menunggang motosikal secara lurus di lorong paling kiri jalan sebelum didatangi kereta pacuan empat roda yang secara tiba-tiba memotong motosikalnya dengan cara tidak selamat.
Tertuduh kemudian telah melanggar motosikal mangsa dan terus meninggalkan lokasi kejadian selain tidak memberhentikan kenderaannya selepas kemalangan tersebut.
Video kemalangan tersebut tular di laman Facebook selepas dimuat naik akaun ‘DashCam Malaysia’ dan mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial. – UTUSAN