PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah wanita, Ellie Suriaty melahirkan rasa kesal dengan kenyataan seorang pempengaruh yang menghina bidang Komunikasi Massa dan Teater sebagai ‘kos bodoh’.
Tegas Ellie, kenyataan sedemikian tidak seharusnya datang daripada seorang bekas pelajar institusi pengajian tinggi, apatah lagi melibatkan budaya, warisan dan jati diri bangsa.
“Saya tak sangka ada bekas pelajar institusi pengajian tinggi boleh keluarkan kenyataan sebegitu, lebih-lebih lagi yang menghina bidang berkait rapat dengan budaya dan warisan kita.
“Jangan jadi katak di bawah tempurung. Orang begini tidak nampak luasnya dunia seni.
“Kalau buang budaya, tarian dan warisan apatah lagi yang tinggal pada bangsa Melayu?,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Ellie berkata bahawa bidang seni persembahan seperti teater bukan sekadar hiburan, tetapi platform yang menyampaikan mesej dan dakwah kepada masyarakat.
“Dalam pementasan teater, sarat dengan mesej dan dakwah yang ingin disampaikan kepada masyarakat luar.
“Teater ini juga kita guna sebagai agen komersial supaya dapat kenalkan dunia dengan melalui tradisi, adat dan budaya.
“Tapi kalau otak dah cetek, yang dia nampak, kononnya teater ini kerja main-main, sekadar hiburan semata-mata. Itu tunjukkan dia ada pemikiran yang sempit,” katanya.
Tambahnya lagi, industri kreatif turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.
“Industri kreatif ini menyumbang kepada KDNK. Kita ada kementerian, ada MOTAC, ada badan-badan seni dan budaya.
“Bukan setakat kerja saja-saja,” katanya.
Sebagai penggiat seni yang mempunyai hampir 30 tahun pengalaman, Ellie berpesan agar tidak meremehkan dan menyebarkan kebencian bidang yang berkaitan seni, komunikasi dan budaya terhadap orang ramai.
“Kalau awak tak berminat, itu hak awak. Tapi jangan ajak rakyat Malaysia membenci bidang ini.
“Jangan jadi perosak. Jangan hina benda yang awak sendiri tak faham,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial satu video seorang pempengaruh menghina bidang Komunikasi Massa dan Teater, menyifatkan ia sebagai tidak berguna dan mendakwa pelajar bidang-bidang tersebut hanya mahu bersosial dan tidak berminat untuk belajar. -UTUSAN











