KUALA NERUS: Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (MySESMA) menyumbang sebuah bas berharga RM670,000 kepada sekolah tersebut sempena sambutan Hari Guru, hari ini.
Presidennya, Datuk Mohd. Zuber Embong berkata, bas tersebut dibeli hasil kutipan derma menerusi program ‘Infak Tempat Duduk’ yang dilancarkan MySESMA pada Februari 2023.
Katanya, kutipan derma tersebut mendapat sambutan daripada bekas pelajar, syarikat milik kerajaan (GLC) dan orang ramai apabila mengumpul kira-kira RM2 juta dalam tempoh 22 bulan sahaja.
“Cadangan awal jawatankuasa MySESMA melancarkan kutipan derma untuk pembinaan surau baharu di SESMA yang boleh menampung kira-kira 250 jemaah. Bagaimanapun, pada masa sama, pihak MySESMA menerima permohonan daripada pengurusan sekolah untuk pembelian sebuah bas baharu bagi kegunaan sekolah ini,” katanya selepas majlis penyerahan rasmi bas kepada Pengetua SESMA, Hayati A. Rahman di sekolah itu, hari ini.
Mohd. Zuber yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berkata, bas baharu itu ditempah MySESMA pada Februari lalu.
“Bas baharu dan surau adalah hadiah istimewa daripada MySESMA kepada pihak sekolah sempena sambutan Hari Guru 2025,” katanya.
Selain itu, beliau memberitahu, projek surau baharu pula masih dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap pada Ogos ini.-UTUSAN