TEL AVIV: Seorang menteri kanan Israel mencetuskan kontroversi apabila membayangkan kemungkinan negaranya akan mengambil alih sebahagian wilayah Gaza sebagai tekanan terhadap Hamas, satu langkah yang boleh menjejaskan harapan rakyat Palestin untuk mendirikan negara merdeka.
Zeev Elkin, ahli Kabinet Keselamatan Israel membuat kenyataan itu sehari selepas Britain mengumumkan akan mengiktiraf negara Palestin pada September sekiranya Israel gagal mencapai gencatan senjata dan meredakan penderitaan di Gaza.
Perancis turut mengumumkan pendirian serupa minggu lalu, manakala Arab Saudi, Mesir, Qatar dan Liga Arab mengeluarkan deklarasi bersama yang menyeru kepada pelaksanaan penyelesaian dua negara.
Sebagai sebahagian daripada pelan damai tersebut, negara-negara terbabit menyatakan Hamas mesti menamatkan pentadbirannya di Gaza dan menyerahkan senjata kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Israel bagaimanapun mengecam tindakan mengiktiraf Palestin, mendakwa ia seolah-olah memberikan ganjaran kepada Hamas atas serangan 7 Oktober 2023 yang mencetuskan konflik semasa.
Dalam satu wawancara bersama penyiar awam Kan, Elkin menuduh Hamas sengaja melengahkan rundingan gencatan senjata untuk mendapatkan konsesi daripada Israel.
“Perkara yang paling menyakitkan bagi musuh kita ialah kehilangan tanah. Satu amaran jelas kepada Hamas bahawa jika mereka terus bermain dengan kita, mereka akan kehilangan tanah yang tidak akan dikembalikan dan itu akan menjadi tekanan yang sangat besar,” katanya.
Rundingan untuk mencapai gencatan senjata selama 60 hari dan pembebasan tebusan yang masih ditahan Hamas terhenti minggu lalu, dengan kedua-dua pihak saling menyalahkan atas kegagalan tersebut.
Tekanan antarabangsa ke atas Israel terus meningkat, khususnya berikutan krisis kemanusiaan yang semakin parah di Gaza.
Badan pemantau global mengenai kebuluran telah memberi amaran bahawa Gaza kini berada di ambang kebuluran besar-besaran. Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan tujuh lagi kematian berkaitan kebuluran pada Rabu, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang mempunyai masalah kesihatan.
Sementara itu, keluarga tebusan Israel menggesa agar pengiktirafan negara Palestin ditangguhkan sehingga semua tebusan dikembalikan.
“Pengiktirafan sedemikian bukan satu langkah ke arah keamanan, sebaliknya satu pelanggaran undang-undang antarabangsa serta kegagalan moral dan politik yang membenarkan jenayah perang kejam,” kata Forum Keluarga Tebusan dalam kenyataan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, turut mengecam keputusan Britain dan Perancis, mendakwa ia sebagai ganjaran terhadap ‘keganasan keji’ Hamas.
Netanyahu baru-baru ini menyatakan bahawa beliau mahukan keamanan dengan rakyat Palestin, tetapi menyifatkan penubuhan negara Palestin sebagai potensi ancaman kepada keselamatan Israel dan menegaskan kawalan keselamatan mesti kekal di tangan Israel. -AGENSI










