Harap prosedur lebih mudah bantu rakyat di Bukit Bendera

Harap prosedur lebih mudah bantu rakyat di Bukit Bendera

SYERLEENA Abdul Rashid berkunjung dan menghulurkan sumbangan kepada komuniti melalui inisiatif Jalinan Kasih di Rumah Pangsa Padang Tembak, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI puncak tertinggi Bukit Bendera dari aras laut, sesiapa sahaja berpeluang menikmati keindahan pemandangan bandar raya Pulau Pinang. Dahulu, bukit itu dijadikan sebagai tempatan percutian zaman penjajahan Inggeris dan kini, menjadi destinasi pelancongan terkenal negeri itu sekali gus menjadi antara keistimewaan dalam Parlimen Bukit Bendera.

Bagaimanapun, di sebalik keistimewaan itu, Parlimen Bukit Bendera menyimpan seribu satu keperluan masyarakatnya yang bersifat kompleks dan memerlukan pendekatan lebih berintegrasi dan bersepadu.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata, semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta dan masyarakat perlu bekerjasama memenuhi keperluan itu demi mencapai kesejahteraan yang lebih baik untuk rakyat.

“Tindakan tepat dan segera dalam menangani isu kebajikan sosial, pendidikan, perumahan dan infrastruktur penting untuk memastikan pembangunan mampan dan inklusif untuk semua,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Bercakap mengenai kebajikan sosial, kata Syerleena, terdapat keperluan mendesak memperkukuh jaringan keselamatan sosial dalam masyarakat Parlimen Bukit Bendera terutama bagi golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan keluar golongan berpendapatan rendah (B40).

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima itu berkata, program bantuan kewangan dan sokongan sosial untuk golongan terpinggir perlu diperluas dan diselaraskan dengan lebih efisien.

“Ramai hadapi pelbagai tekanan hidup contohnya kos sara hidup semakin meningkat, masalah kesihatan yang memerlukan rawatan berterusan dan kekangan mobiliti membataskan akses kepada perkhidmatan awam.

“Saya harap, kerajaan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan dengan prosedur lebih mudah dan pantas selain penubuhan lebih banyak pusat komuniti menyediakan khidmat sokongan sosial dan kesihatan,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 2022, Syerleena menang kerusi Parlimen Bukit Bendera dengan meraih undi 49,353 (majoriti undi 42,610) menewaskan empat calon lain.

Pengarah Pendidikan Politik Wanita DAP itu berkata, kerajaan perlu mempertingkatkan infrastruktur asas di kawasan Parlimennya seperti isu kesesakan lalu lintas yang merupakan masalah kerap dibangkitkan penduduk dan pengunjung kawasan itu.

“Di Batu Ferringhi, jalan yang sempit dan tiada laluan alternatif menjadikan kawasan ini sesak teruk terutama pada musim cuti dan hujung minggu. Begitu juga aliran trafik di Gurney Drive yang semakin padat kerana trafik sesak dari Tanjong Tokong dan pusat bandar.

“Usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan kapasiti jalan raya dan memperkenal sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan mesra pengguna. Pembangunan sistem perparitan berkesan juga penting untuk atasi masalah banjir,” katanya.

Selain itu, katanya, penyediaan perumahan mampu milik untuk golongan B40 dan sederhana (M40) menjadi keperluan sangat mendesak kerana kawasan parlimennya yang mempunyai populasi pelbagai.

Jelasnya, masalah penyelenggaraan perumahaan sedia ada perlu diberi perhatian serius menyaksikan penduduk di Flat Padang Tembak dan Flat UDA, Tanjong Tokong berdepan isu seperti lif sering rosak, persekitaran kotor, sistem pembetungan bermasalah dan isu keselamatan yang membimbangkan.

“Ini bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup penduduk, malah, menimbulkan risiko kesihatan awam yang besar. Kerajaan perlu ambil langkah proaktif memastikan perumahan kos rendah sentiasa diselenggara dengan baik,” katanya.

Katanya, Batu Ferringhi merupakan kawasan pelancongan terkenal yang kerap terdedah risiko bencana alam seperti banjir kilat dan hakisan pantai akibat hujan lebat luar biasa dan ombak kuat.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) meluluskan peruntukan RM61 juta bagi melaksanakan projek perlindungan pantau dan pengurusan bencana iklim di kawasan itu seperti pembinaan struktur pemecah ombak, sistem saliran moden dan kerja-kerja pemulihan pantai.

“Projek ini djangka memberi impak positif dalam jangka masa panjang terutama dari sudut keselamatan, alam sekitar dan kelestarian sektor pelancongan tempatan,” katanya.

Katanya, keupayaan untuk membangunkan Parlimen Bukit Bendera secara seimbang bergantung kepada keberkesanan kerjasama antara kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta komuniti setempat.

“Jurang sosioekonomi perlu terus dikurangkan melalui dasar yang adil, responsif, manakala isu alam sekitar perlu ditangani dengan strategi mitigasi mampan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN