GEORGE TOWN : Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat menggesa kerajaan untuk mengharamkan satu trend baharu yang wujud dalam TikTok ketika ini.
Presidennya, L. Francis berkata, trend yang diberi nama ‘PK Battle’ itu dianggap memberi kesan yang negatif serta boleh merosakkan akhlak anak muda apabila mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan hadiah secara digital.
“Permainan ini (sekali pandang) nampak seperti menggelikan hati. Tapi, apabila kalah, individu tersebut akan berdepan dengan hukuman yang tidak masuk akal.
“Ini termasuk perlu menyapu tepung dan melumur najis haiwan pada muka, selain perlu menyimbah air pada badan secara ‘live’ (dalam TikTok).
“Kita bimbang jika permainan berunsurkan ‘cuci duit’ ini terus dibiarkan kerana nilai hadiah yang ditawarkan oleh pemberi hadiah digital ini lumayan dan kadang-kadang boleh mencecah sehingga RM10,000,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Francis berkata, ketika ini, pihaknya telah menerima banyak aduan daripada orang awam terutamanya ibu bapa yang bimbang dengan pengaruh negatif daripada trend tersebut khususnya terhadap anak-anak mereka berusia bawah 30 tahun.
Beliau berkata, antara aduan itu termasuk daripada seorang ibu yang mendakwa anaknya sanggup mencuri wang semata-mata untuk membeli hadiah dan mahu menyertai aktiviti ‘PK Battle’ di TikTok.
Malah, katanya, ada yang sanggup tidak tidur malam demi menonton trend berkenaan dan menunggu hukuman yang akan dikenakan terhadap pemilik TikTok tersebut sekaligus memupuk budaya hedonisme dalam kalangan remaja.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk berbincang dengan pengurusan TikTok bagi menyekat fungsi tersebut daripada terus digunakan oleh pengguna tempatan.
“Trend ‘PK Battle’ ini bukan hiburan (yang biasa) tetapi merupakan satu bentuk penyimpangan sosial yang semakin menjadi kegilaan pengguna media sosial dan perlu dibendung agar golongan muda tidak mudah terpedaya,” ujarnya.-UTUSAN