Hampir 45 peratus petani berusia 60 tahun ke atas

Hampir 45 peratus petani berusia 60 tahun ke atas

FADILLAH Yusof semasa ucaptama di Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), semalam. - UTUSAN/SABRINA ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Interim Banci Pertanian 2024 yang dilancarkan hari ini mendapati hampir 45 peratus petani di negara ini terdiri daripada golongan individu berusia 60 tahun ke atas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, trend taburan umur dalam kalangan pengusaha pertanian menunjukkan keperluan mendesak untuk meremajakan sektor ini demi memastikan kelangsungannya.

“Daripada 1,030,020 pengusaha pertanian direkodkan bagi tahun rujukan 2023, seramai 1,008,829 adalah pengusaha pertanian individu, manakala selebihnya 21,191 merupakan pertubuhan.

“Sebanyak 458,395 orang atau 45.4 peratus daripada pengusaha individu berusia 60 tahun dan ke atas manakala 32.3 peratus atau 326,287 orang berada dalam lingkungan umur 46 hingga 59 tahun.

“Hanya 22.2 peratus atau 224,147 pengusaha adalah dari kalangan generasi muda berusia antara 15 hingga 45 tahun,” katanya ketika berucap pada pelancaran laporan berkenaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, ketidakseimbangan berkenaan memberi kesan langsung terhadap produktiviti dan keupayaan negara untuk meningkatkan pengeluaran domestik serta keterjaminan makanan negara.

“Tanpa tenaga kerja mahir dan berdaya saing daripada generasi muda, sasaran untuk mengurangkan kebergantungan kepada import akan sukar dicapai,” katanya lagi.

Sehubungan itu, katanya, perlunya pelaksanaan strategi meremajakan sektor pertanian termasuk meningkatkan insentif, memperkenalkan teknologi moden serta memperbaiki persepsi terhadap kerjaya dalam bidang itu.

Sambil itu menurut Fadillah, keluasan kawasan bertanam di negara ini adalah seluas 7.5 juta hektar dengan kelapa sawit sebagai tanaman utama merangkumi seluas 5.8 juta hektar.

“Ini diikuti oleh tanaman getah seluas 0.7 juta hektar dan tanaman padi seluas 0.5 juta hektar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN