MELAKA: Program Haji Kids Kembara ke Baitullah bukan sekadar simulasi ibadah, malah menjadi titik permulaan kepada impian besar ribuan kanak-kanak untuk menjadi tetamu Allah suatu hari nanti.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, program julung kali diadakan itu memberi pendedahan awal yang cukup bermakna kepada anak-anak kecil untuk memahami ibadah haji dengan cara yang interaktif, menyeronokkan dan penuh nilai keagamaan.
“Hari ini anak-anak bukan sekadar bermain, mereka belajar. Bukan sekadar memakai ihram, tetapi menanam cita-cita untuk menjadi tetamu Allah.
“Saya yakin anak-anak yang kita saksikan hari ini akan menjadi pemimpin masa depan yang berilmu, berakhlak dan membawa cahaya Islam ke seluruh pelusuk dunia,” katanya ketika merasmikan Haji Kids Kembara Ke Baitullah: Simulasi Haji untuk Kanak-Kanak Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025 di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit di sini, hari ini.
Program anjuran Warnakala Studios dengan sokongan Bahagian Promosi Pelancongan itu menghimpunkan kira-kira 1,500 kanak-kanak berusia antara tiga hingga 12 tahun.
Peserta lengkap berpakaian ihram dan menjalani aktiviti simbolik ibadah seperti tawaf, sa’i, melontar jamrah dan wukuf di Arafah.
Ab Rauf berkata, pendekatan tersebut memberi peluang kepada peserta untuk memahami ibadah haji secara teori dan praktikal, sekali gus memupuk kecintaan kepada agama sejak usia kecil.
“Saya difahamkan peserta bukan sahaja dari Melaka, malah turut disertai kanak-kanak dari Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
“Ini membuktikan program keilmuan sebegini mendapat sambutan luar biasa masyarakat dan saya menyambut baik agar ia dijadikan acara tahunan dalam kalendar Islam, pelancongan dan pendidikan negeri Melaka,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa yang prihatin membimbing anak-anak mengenal agama serta menyifatkan mereka sebagai pendidik dan role model utama dalam kehidupan anak-anak.
“Harapan saya, program seperti Haji Kids mampu menjadi pemangkin kepada generasi muda untuk terus mencintai agama dan membina jati diri sebagai umat Islam yang unggul.
“Kita berdoa agar usaha ini diberkati dan menjadi asbab lahirnya generasi ulul albab, cemerlang dalam ilmu, sahsiah serta cinta kepada agama, bangsa dan tanah air,” katanya
Mengulas mengenai ibadah haji tahun ini, Ab Rauf berkata, seramai 1,141 jemaah dari Melaka akan berangkat menunaikan rukun Islam kelima itu termasuk seorang remaja berusia 16 tahun. – UTUSAN