Hael Husaini akui seminggu tak keluar rumah - Utusan Malaysia

Hael Husaini akui seminggu tak keluar rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bakal mengadakan ‘showcase’ tidak lama lagi, penyanyi, Hael Husaini mengakui sudah menjadi kemestiannya untuk tidak keluar rumah selama seminggu demi menjaga kesihatan diri dan suaranya.

Kongsi Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 38, perkara itu adalah normal bagi seseorang penyanyi sebelum membuat konsert atau ‘showcase’.

“Kalau hendak diikutkan, penyanyi memang sering menjarakkan diri daripada orang ramai bila hendak membuat showcase atau konsert.

“Perkara itu adalah untuk mengelakkan diri daripada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Mereka perlu menjaga ekslusiviti dan kesihatan lebih-lebih lagi apabila melibatkan persembahan yang perlu dibayar,” katanya.

Hael menjelaskan perkara itu ketika ditemui di sesi sidang media ‘showcase’ Hael Husaini Antonim Night di Shangrila, Kuala Lumpur, semalam.

Hael yang juga merupakan seorang komposer dan penulis lirik berkata, tahap kesihatan penyanyi adalah bergantung kepada cara mereka menjaga kesihatan mereka sendiri.

“Sebagai penyanyi, mereka perlu tahu tubuh badan mereka dan penjagaan itu sangat penting terutama apabila melibatkan kerja harian yang hari-hari bekerja.

“Macam saya memang akan ambil suntikan vaksin influenza, vitamin C dan penjagaan yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Jampi itu berkongsi kerisauannya untuk membuat persembahan di showcasenya nanti.

“Kerisauan itu semestinya ada kerana selalunya, bila tarikh persembahan sudah hampir tiba, ketika itulah akan demam, hilang suara dan ada ujian-ujian lain.

“Bagi saya itu adalah perkara yang paling seronok apabila menjadi seorang penghibur, apa-apa jadi pun, persembahan tetap harus diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Hael berkongsi keterujaannya apabila mengetahui tiket showcase nya habis dijual dalam masa 17 minit.

“Sebenarnya saya agak terkejut kerana saya tidak pernah menyangka ada pengikut hendak membeli tiket secepat itu.

“Saya menjangkakan akan habis terjual dalam masa sehari, tapi dalam masa 17 minit itu, sebenarnya saya rasa sangat gembira,” katanya.

Hael Husaini Antonim Night bakal berlangsung di Nero Event Space, PJPAC, pada 31 Mei tahun ini.

‘Showcase’ yang berdurasi selama dua jam itu bakal memperlihatkan Hael Husaini menyanyikan 10 buah lagu termasuk lagunya sendiri dan penyanyi lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN