Guru Pemacu Reformasi Pendidikan

Guru Pemacu Reformasi Pendidikan

Bertemakan ‘Guru Pemacu Reformasi Pendidikan’, sambutan tahun ini memberi tumpuan kepada peranan guru sebagai ejen perubahan dalam landskap pendidikan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sarawak Tuan Rumah Sambutan Hari Guru 2025

Negeri Sarawak diberi penghormatan menjadi tuan rumah bagi Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-54 Tahun 2025 yang dijadual berlangsung selama tiga hari bermula esok hingga Jumaat ini.

Sambutan ini bakal diserikan dengan pelbagai program dan acara istimewa sebagai tanda penghargaan terhadap jasa serta pengorbanan warga pendidik tanah air.

Bertemakan “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan”, sambutan tahun ini memberi tumpuan kepada peranan guru sebagai ejen perubahan dalam landskap pendidikan negara.

Tema ini mencerminkan usaha berterusan Kementerian Pendidikan untuk memperkasa guru sebagai pemimpin, pembimbing dan perintis dalam inovasi pengajaran serta pembelajaran.

Majlis pelancaran rasmi sambutan akan berlangsung pada pukul 8 pagi, Jumaat ini di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK).

Upacara ini bakal menghimpunkan ribuan warga pendidik, pemimpin pendidikan, serta wakil komuniti dan sektor swasta dalam satu majlis bersejarah.

Antara acara utama ialah Pameran Pendidikan: Ceritera Guru yang berlangsung selama tiga hari dari esok  hingga Jumaat di Dataran Waterfront Kuching, Zon A dan Zon C.

Pameran ini dibuka kepada umum dari 9 pagi hingga 10 malam, menampilkan penglibatan pelbagai agensi kerajaan, swasta serta pertubuhan bukan kerajaan dalam bidang pendidikan.

Pada hari pertama program, aktiviti akan dimulakan seawal 6 pagi dengan program Juh Kita Berekot Rami-Rami Hari Guru dan aktiviti Perahu Tambang dari Padang Merdeka ke Dataran Ibu Pertiwi.

Ini akan diikuti oleh Pertandingan Akhir Pidato Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang dijadual berlangsung dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari di Borneo Cultures Museum.

Hari yang sama turut menyaksikan Forum Pendidikan dan Bicara Profesional Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) yang masing-masing berlangsung di Zon B, Waterfront Kuching.

Bacaan Yasin, tahlil dan Forum Perdana akan berlangsung di Masjid India Bandar Kuching dari jam 3.30 petang. Acara malam pula dimeriahkan dengan Konsert Hari Guru bermula jam 8.30 malam di lokasi yang sama.

Pada hari kedua pula, tumpuan utama ialah Pertandingan Akhir Bahas Guru Piala KPPM bermula jam 8 pagi di Hikmah Exchange Event Centre. Pada masa yang sama, pameran pendidikan dan persembahan buskers akan dijalankan di Waterfront Kuching.

Acara berprestij Sesi Perkongsian Guru – 10 Guru Terbaik Dunia turut berlangsung dari 10.30 pagi.

Turut diadakan ialah Pocket Talk oleh Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia dan Amerika Syarikat (MACCE) dan Majlis Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan, masing-masing berlangsung tengah hari dan petang di Hikmah Exchange Event Centre.

Acara kemuncak hari tersebut ialah Malam Kamek Sayang Cikgu: #TerimaKasihCikgu, yang dijadual bermula jam 8.30 malam di Zon B, Waterfront Kuching.

Sambutan kali ini memberi penekanan kepada pemerkasaan profesionalisme keguruan sejajar dengan pendekatan pendidikan digital yang semakin berkembang.

Ia juga bertujuan menyokong aspirasi melahirkan generasi MADANI yang berdaya saing, seimbang dan berakhlak mulia.

Objektif sambutan Hari Guru 2025 turut merangkumi usaha untuk menyemarakkan profesion keguruan sebagai profesion mulia, meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap guru, menginspirasi generasi muda memilih kerjaya pendidikan serta memupuk semangat perpaduan demi keharmonian negara.

Berdasarkan Falsafah Pendidikan Guru, dimensi seperti ketuhanan, kemasyarakatan, kendiri, akhlak, ihsan dan integriti akan terus menjadi teras pembentukan guru yang berilmu, berakhlak dan berwibawa.

Nilai-nilai ini penting dalam membentuk peribadi guru sebagai pemacu utama transformasi pendidikan negara.

Konsep sambutan pada tahun ini juga berteraskan kepada pengukuhan sinergi antara guru, komuniti, pihak swasta dan kerajaan bagi menjayakan reformasi pendidikan yang lebih inklusif dan efektif. Pendidikan digital dilihat sebagai alat penting dalam melonjakkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, sambutan ini adalah bukti sokongan padu pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta dalam mengangkat martabat profesion perguruan serta memperkukuh sistem pendidikan negara secara menyeluruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN