PETALING JAYA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersedia bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah memuktamadkan untuk berkerjasama.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan langkah itu selaras dengan prinsip GRS yang mahu kerajaan negeri terus dipimpin oleh parti tempatan sebagai tonggak utama.
Beliau berkata, GRS juga sedia memfokuskan kerjasama dengan parti tempatan lain yang lebih memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat tanpa mengetepikan peranan dan kepentingan parti nasional dalam kerangka kerjasama yang lebih luas.
“Jika keputusan muktamad PH dan BN bekerjasama dalam PRN akan datang, maka GRS bersedia untuk bertanding secara solo dan memfokuskan kerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang sehaluan.
“Menyimpang daripada prinsip ini bermakna kita mengabaikan aspirasi sebahagian besar rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, BN-PH mengesahkan kerjasama bagi menghadapi PRN Sabah.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, GRS akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk menetapkan hala tuju gabungan itu bagi menghadapi PRN yang akan datang.
Katanya, GRS juga akan mengadakan perbincangan rasmi dengan parti yang membentuk kerajaan negeri semasa untuk mendapatkan pandangan dan pendirian mereka.-UTUSAN