Gaza antara topik perbincangan ASEAN-GCC-China

Gaza antara topik perbincangan ASEAN-GCC-China

asean
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Krisis kemanusiaan di Gaza, isu Laut China Selatan, konflik Myanmar dan tarif Amerika Syarikat (AS) antara topik utama yang akan dibincangkan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 merupakan platform pemimpin ASEAN untuk meneliti kemajuan rantau ini dalam tiga tunjang utama iaitu Politik – Keselamatan, Ekonomi dan Sosiobudaya.

Katanya, ia juga menjadi medan utama untuk membincangkan isu-isu serantau dan global yang semakin kompleks, termasuk isu Laut China Selatan, krisis kemanusiaan di Gaza dan Myanmar, tarif perdagangan unilateral oleh kuasa besar, cabaran ekonomi digital dan rantaian bekalan.

“Fokus utama Malaysia adalah untuk memastikan ASEAN kekal relevan, responsif dan berpaksikan rakyat, selaras dengan wawasan jangka panjang ASEAN 2045 yang bakal dilancarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 hari ini.

Tunku Nashrul berkata, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 yang akan dijalankan juga mengukuhkan komitmen jangka Panjang kedua-dua rantau yang telah menjalinkan hubungan sejak 1990.

Katanya, ASEAN dan GCC merupakan dua entiti ekonomi penting, dengan jumlah dagangan mencecah AS$130.7 bilion dan Pelaburan GCC ke ASEAN sebanyak AS$390.2 juta.

“Sidang ini bakal meneliti pelaksanaan Rangka Kerjasama ASEANGCC 2024-2028, termasuk inisiatif dalam perdagangan bebas, pendidikan, pembangunan mampan dan keterhubungan budaya serta digital,” katanya.

Terakhir, beliau berkata, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pula adalah sidang kemuncak trilateral di antara ASEAN, GCC dan China iaitu inisiatif baharu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, bertujuan memperkukuh kerjasama ekonomi tiga hala antara rantau ASEAN, Teluk dan China.

“ASEAN kini merupakan ekonomi kelima terbesar dunia dengan jumlah KDNK AS$3.8 trilion, manakala China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan dua hala berjumlah AS$696.7 bilion.

“Sidang ini dijangka merangka strategi baharu dalam perdagangan, pelaburan, pembangunan infrastruktur mampan dan digitalisasi rantau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN