Gaza: Keperluan perubatan, tempat tinggal paling kritikal

Gaza: Keperluan perubatan, tempat tinggal paling kritikal

PENDUDUK melalui kawasan penempatan yang musnah sepenuhnya selepas dibedil oleh tentera Zionis. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Krisis kemanusiaan di semenanjung Gaza kini memasuki fasa yang sangat membimbangkan apabila keper­luan perubatan dan tempat tinggal dilaporkan menjadi antara aspek paling kritikal yang mendesak untuk diselesaikan segera.

Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari berkata, ketidakpastian mengenai penyaluran bantuan tersebut dikhuatiri meng­akibatkan penderitaan rak­yat Palestin terus berlarutan tanpa noktah.

Katanya, sekiranya tindakan menyekat kemasukan barangan bantuan asas, berpanjangan bagi tempoh yang lama, bekalan makanan di wilayah itu juga akan mengalami kekurangan yang mendadak.

“Sekiranya sekatan ke atas barangan berlarutan ini berpanja­ngan, kita amat bimbang bekalan makanan juga akan berkurangan dan mengakibatkan krisis kebuluran yang lebih serius,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, meskipun berdepan dengan pelbagai, cabaran dan risiko keselamatan, badan bukan kerajaan (NGO) di bawah nau­ngan Ops Ihsan tetap komited meneruskan misi bantuan kemanusiaan mereka.

Jismi berkata, antara kekangan utama melumpuhkan operasi ketika ini adalah tindakan pihak berkuasa yang menyekat lori-lori muatan bantuan daripada memasuki pintu sempadan Gaza.

Sekatan berkenaan menyebabkan, kebanyakan pasukan bantuan terpaksa mengubah strategi dengan berusaha memperoleh bekalan barangan keperluan terus dari dalam wilayah Gaza sendiri bagi memastikan bantuan sampai kepada sasaran.

“Kebanyakan NGO terpaksa menjalankan misi bantuan de­ngan memperoleh barangan dari dalam Gaza sendiri, namun cabaran besarnya adalah harga barangan tersebut kini melonjak berkali-kali ganda,” katanya.

Jasmi turut kesal dengan tindakan provokasi tentera Israel yang dilihat masih meneruskan siri serangan udara dan darat setiap hari walaupun terdapat laporan mengenai rundingan gencatan senjata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×