Gantung: Musketeer Code - Shazia akui tidak mudah ganti watak Farah - Utusan Malaysia

Gantung: Musketeer Code – Shazia akui tidak mudah ganti watak Farah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Shazia Rozaini memikul tanggungjawab besar apabila menggantikan watak Farah dalam filem Gantung: Musketeer Code yang sebelum ini dilakonkan pelakon Indonesia, Mentari De Marelle.

Kongsi pemilik nama sebenar Nurul Shazia Mohd Rozaini,  dia cuba melakonkan sebaik mungkin watak tersebut demi peminat yang sudah lama menantikan filem berkenaan muncul di pawagam.

“Kita tahu Gantung mempunyai peminat tersendiri, untuk menggantikan orang lain bagi watak yang sudah sedia ada dan sememangnya bagus itu tidak mudah.

“Saya pula nama baru dalam industri seni, jadi saya ambil ini sebagai tanggungjawab besar sebab ia adalah harapan peminat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kongsi Shazia, cabaran untuk menjayakan watak Farah adalah ketika dia perlu membuat kajian watak terlebih dahulu agar kesinambungan karakter itu dapat disaksikan penonton.

“Saya tidak menonton drama Gantung sebelum ini, jadi perlu dapatkan persamaan dan kaji dengan lebih mendalam karakter Farah dalam drama agar ia tidak berlainan apabila diterjermahkan dalam filem,” katanya.

Tambahnya, terdapat elemen baharu yang ditunjukkan untuk memberi nafas segar kepada watak berkenaan.

“Setiap babak itu susah sebab karakter itu ada identiti tersendiri. Tapi tidaklah semua saya tiru bulat-bulat, ada juga diperbaharui,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon yang sedang meningkat naik itu meluahkan rasa syukur kepada mereka yang mempercayainya untuk melakonkan karakter berkenaan.

“Perkara ini sangat istimewa bukan sahaja di hati pelakon, malah produksi tetapi juga peminat. Jadi itu adalah tekanan yang besar buat saya.

“Tetapi terima kasih juga kepada semua yang mempercayai dan memberi peluang kepada saya untuk membawa watak Farah,” ujarnya.

Terdahulu, watak Farah dilakonkan oleh pelakon Indonesia, Mentari De Marielle dalam siri Gantung dan kini diganti dengan Shazia disebabkan masa dan jadual pelakon asal yang tidak sesuai.

Watak Gibbs yang dahulu dimainkan oleh Randy Pangalila turut diganti oleh Ben Amir atas faktor yang sama.

Filem Gantung: Musketeer Code yang bakal ditayangkan pada 5 Jun ini di seluruh pawagam turut menampilkan Ikmal Amry, Brandom Salim (Indonesia), Hafreez Adam dan ramai lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN