ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menafikan dakwaan mengatakan masalah gangguan bekalan air di Johor Bahru beberapa hari lalu bertujuan mensabotaj Kongres Nasional PKR.
Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh memberitahu, kerosakan berpunca akibat jentera pam air lama dan tiada perlindungan berasingan melibatkan kesemua pam di Loji Rawatan Air (LRA) tersebut.
“Sabotaj? Tiada kerja, tak adalah kita rajin nak sabotaj (Kongres Nasional PKR),” katanya ringkas ketika diajukan dakwaan tersebut oleh pemberita di pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.
Tambah Mohamad Fazli, kerosakan di LRA Sungai Johor itu merupakan satu insiden yang jarang berlaku sehingga menjejaskan 155,074 akaun pengguna air di Johor Bahru dan Iskandar Puteri.
“Wujud kesilapan dalam komunikasi apabila masalah kerosakan pam telah diketahui lebih awal, namun kegagalan syarikat pengendali air mengeluarkan notis pemakluman gangguan bekalan kepada pengguna, menyebab berlakunya gangguan air lebih lama.
“Jika dimaklumkan awal, pengguna dapat membuat persediaan termasuklah menyimpan bekalan air dan bukan digunakan pada kadar biasa sehingga berlaku gangguan bekalan meluas,” ujarnya.
Sehubungan itu, pihaknya akan meneliti dan menambah baik sebarang kekurangan dalam prosedur operasi standard (SOP) berkaitan gangguan bekalan air di negeri ini. – UTUSAN