Gambaran penuh perjanjian komersial Petronas-Petros

Gambaran penuh perjanjian komersial Petronas-Petros

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Seri Abang Johari Openg gesa semua pihak bertenang, dan menyuarakan komitmen untuk selesai pertikaian Petronas-Petros secara baik.

PETALING JAYA: Bantahan lantang kedengaran ketika Sarawak menuduh Petronas Carigali beroperasi secara haram dan melanggar Ordinan Pengagihan Gas 2016 (OPG).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Openg terpaksa mengingatkan semua pihak supaya bertenang dan menyuarakan komitmen untuk menyelesaikan isu itu secara baik.

Rundingan antara Petronas dan Petros, syarikat minyak dan gas Sarawak, masih berterusan. Pokok pangkal pertikaian itu adalah desakan supaya Petros ditetapkan sebagai agregator tunggal di negeri itu.

Pada masa ini beberapa isu masih belum selesai: nasib kontrak eksport jangka panjang Petronas, isu tadbir urus berkait dengan rantaian nilai gas, dan implikasi lebih luas perancangan itu ke atas rangka kerja tenaga Malaysia.

Pada dasarnya, pertikaian ini melibatkan kawalan terhadap sektor minyak dan gas Malaysia — dan hasil bernilai berbilion ringgit.

Pakar menjangkakan sekiranya tuntutan Sarawak dituruti sepenuhnya, negeri itu mampu meraih hasil sehingga RM20 bilion setahun namun menjejaskan Petronas.

Petronas, syarikat minyak negara, dimiliki sepenuhnya kerajaan persekutuan ditubuhkan di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (AKP), ia memiliki sepenuhnya semua sumber minyak dan gas di seluruh negara, sama ada di daratan atau laut, selain hak eksklusif untuk meneroka, mengeluar dan mengurus.

Selaku syarikat tenaga gergasi negara, Petronas mengetuai projek berskala besar, memantau operasi huluan dan hiliran, selain menjadi penyumbang hasil negara yang penting.
Petros, syarikat minyak dan gas milik Sarawak, ditubuhkan pada 2017 untuk menyelia dan membangunkan sektor tenaga negeri itu.

Dalam pada Petronas mentadbir urus sumber asli Malaysia, Petros ditugas memastikan Sarawak memainkan peranan penting dalam mengurus dan meraih keuntungan daripada aset tenaganya.

Bagaimanapun desakan Sarawak supaya Petros ditetapkan sebagai agregator tunggal di bawah OPG membangkitkan implikasi penting dalam isu kawalan dan pengagihan hasil.

Memetik laporan FMT, agregator gas memainkan peranan penting dalam rantai nilai, dengan membeli gas daripada pengeluar huluan, menyepadukan bekalan, dan menjualnya kepada pembeli hiliran — lazimnya pada harga yang ditetapkannya.

Selain itu, tanggungjawab agregator termasuk pembinaan, pengurusan dan pengoperasian prasarana penting, termasuk kemudahan saluran paip dan pemprosesan, memastikan penghantaran gas secara konsisten seiring spesifikasi teknikal, menguruskan gangguan bekalan, dan bertindak balas terhadap naik turun permintaan global.

Petronas memenuhi peranan itu sejak 1974, dan membina reputasi baik dari segi kebolehpercayaan serta prestasi.

Hubungan jangka panjangnya dengan pasaran utama — khususnya Jepun — meletakkannya sebagai antara pembekal LNG paling dipercayai di rantau ini.

Bukan mudah untuk menggantikan agregator yang begitu mantap. Ia berisiko mengganggu kesinambungan, kebolehpercayaan dan bekalan yang diharapkan rakan global Malaysia, khususnya di Asia Timur.

Petros berharap untuk menggantikan Petronas sebagai agregator gas tunggal Sarawak — membeli gas daripada pengeluar huluan dan menjualnya semula kepada pelanggan. Peralihan ini akan memberikan lebih kawalan kepada Petros dari segi penentuan harga, iaitu peranan yang secara tradisinya dipegang Petronas.

Perubahan yang dicadangkan ini membawa cabaran besar. Petronas telah menandatangani beberapa kontrak eksport LNG jangka panjang dengan syarikat-syarikat di pelbagai negara seperti Jepun dan Korea Selatan, termasuk banyak yang merangkumi tempoh 20 hingga 30 tahun.

Kontrak-kontrak ini masih berkuat kuasa, dan tidak membolehkan perubahan unilateral dari segi penentuan harga atau terma.

Jika Petros menaikkan harga minyak, Petronas sama ada perlu menyerap kos tambahan, seterusnya menjejaskan margin, atau mengambil risiko melanggar perjanjian yang mengikat — satu senario langsung tidak dapat diterima.

Dengan berusaha menguatkuasakan OPG ini, Sarawak menetapkan kawalan dengan cara yang mampu menjejaskan keupayaan Petronas memenuhi tanggungjawab sedia ada dan akan datang kepada pembeli antarabangsa.

Pada Februari lalu, Perdana Menteri mengesahkan bahawa AKP masih undang-undang menyeluruh yang mentadbir aktiviti minyak dan gas seluruh negara, termasuk di Sarawak. Pada masa sama, kerajaan Persekutuan mengiktiraf hak Sarawak untuk mengawal selia gas hiliran menerusi OPG.

Turut dipersetujui, Petronas dan subsidiarinya akan memenuhi semua tanggungjawab kontrak sedia ada, termasuk perjanjian bekalan antarabangsa jangka panjang, dan tidak perlu mendapat lesen tambahan untuk beroperasi di Sarawak, melainkan apa yang dimandatkan oleh AKP.

Bagaimanapun, notis perundangan Sarawak kepada Petronas Carigali kerana dikatakan beroperasi tanpa lesen, mencadangkan negeri itu tidak sependapat dengan Perdana Menteri berhubung satu terma penting dalam persetujuan berkenaan.

Sarawak mahu memainkan peranan agregator gas supaya ia mempunyai lebih kawalan terhadap bagaimana gas digunakan dan harganya ditentukan di negeri itu. Dengan memberi tugas ini kepada Petros, Sarawak berharap memastikan bahawa ada bekalan mencukupi untuk kilang, stesen janakuasa dan industri tempatan di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak 2030.

Negeri itu juga mahu menarik lebih banyak pelaburan dan membangunkan ekonominya. Sarawak percaya ini haknya di bawah undang-undang, dan mahu memainkan peranan lebih besar dalam membantu Malaysia menjadi hab tenaga bersih.

Bagi menyokong keperluan hala tuju gas Sarawak dan keperluan tenaga negeri itu, Perdana Menteri pada 17 Februari memberitahu Dewan Rakyat bahawa Petros dijamin sehingga 1.2 bilion kaki padu sehari gas asli untuk kegunaan tempatan, meningkat daripada 450 juta kaki padu sehari.

Sarawak merancang menggunakan bekalan tambahan itu untuk stesen janakuasa baharu dan loji petrokimia.

Bagaimanapun, wujud kebimbangan bahawa permintaan tempatan tidak cukup untuk menyerap output sepenuhnya.

“Pada peringkat ini, saya rasa tiada jaminan ‘off taker’ atau pusat permintaan besar untuk menyerap gas ini,” kata seorang penganalisis industri.

Beliau bagaimanapun percaya “ada kemungkinan” kawasan perindustrian Bintulu dan Samalaju mampu menyerapnya.

Kontrak pembekalan gas lazimnya memerlukan komitmen permintaan yang terjamin. Ini menimbulkan persoalan: di mana pusat permintaan ini akan berada, dan bilakah “off-taking” akan bermula?

Sebarang pengurangan dalam keuntungan Petronas berkemungkinan bermakna bayaran dividen lebih rendah kepada kerajaan Persekutuan — seterusnya, kurang subsidi tenaga untuk orang awam.

Asrul Hadi Abdullah Sani, rakan kongsi di ADA Southeast Asia, berkata: “Kesan perbelanjaan kerajaan berkait dengan subsidi tenaga pasti besar. Ia mampu membawa kepada pengurangan dalam pemberian kerajaan apabila dividen daripada Petronas dijangka berkurangan.

“Di samping itu, peningkatan kos bahan bakar dan elektrik akan menjejaskan harga barangan dan meningkatkan kos sara hidup bagi mereka dalam kumpulan pendapatan sederhana (M40) ke bawah.”

Penganalisis minyak dan gas, Jamil Ghani berkata: “Rejim bahan bakar Malaysia yang disubsidi secara meluas pasti terjejas dan golongan kelas pekerja akan paling teruk terkesan. Semua pusat data yang bergantung pada elektrik murah juga akan perlu buat pertimbangan semula.”

Petronas dan Petros masih terus mengadakan perbincangan langsung, manakala kerajaan Persekutuan serta Sarawak sedia campur tangan sekiranya rundingan berdepan kesukaran.

Belum ada had masa ditetapkan, menyebabkan kesudahannya — dan implikasinya ke atas cita-cita perindustrian Sarawak, strategi eksport Petronas, dan kos tenaga untuk semua rakyat — masih tergantung.

Memberikan Petros peranan sebagai agregator tunggal mampu mengurangkan hasil Petronas sehingga antara RM10 bilion hingga RM20 bilion, yang berupaya menjejaskan keupayaannya membayar dividen tahunan sebanyak antara RM30 bilion hingga RM50 bilion kepada kerajaan. Ini seterusnya akan memberi tekanan ke atas belanjawan Persekutuan.

Ini juga mungkin menjadi contoh untuk negeri lain membentuk firma minyak dan gas sendiri, seterusnya membawa kepada perpecahan sektor tenaga Malaysia.

Pelabur sudah mula menunjukkan kebimbangan, seperti apabila ConocoPhillips menarik diri daripada projek minyak dan gas laut dalam di pesisiran Sarawak bernilai RM13.7 bilion di Salam-Patawali, dan tindakan undang-undang Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd terhadap Petronas serta Petros berkenaan hak pembekalan gas di Sarawak.

Tanpa skala ekonomi yang ada pada Petronas, Petros mungkin memerlukan rakan kongsi asing, lalu mencetuskan persoalan mengenai kedaulatan tenaga serta kecekapan rantaian bekalan.

Kesan lebih luas pula mungkin dilihat dari segi pertumbuhan lebih lembap, kos lebih tinggi, dan meningkatnya ketaktentuan fiskal dan kawal selia.

Patutkah Petros diberi kuasa tunggal ke atas gas di Sarawak? Bagaimanakah pelantikan Petros akan membentuk semula tadbir urus tenaga di Malaysia? Apakah kesan pelantikan Petros terhadap perniagaan Petronas sedia ada dan akan datang, skala operasinya, daya maju kewangan, dan peranannya dalam menyumbang kepada hasil negara?

Bukan sekadar cita-cita sebuah negeri menjadi taruhan, malah keupayaan mengurus keseimbangan yang rapuh antara autoriti Persekutuan dan autonomi wilayah.

Hasilnya mungkin akan menentukan sama ada Malaysia memelihara ekosistem tenaga yang padu atau merasai akibat perpecahan ekosistem tersebut, serta akibat yang menyusul.

Keseimbangan perlu dicapai dengan penuh berhati-hati — mengambil kira kepentingan negara, peranan statutori Petronas, pertumbuhannya sejak lima dekad lalu, kesan negatif ke atas model perniagaan syarikat minyak itu yang setakat ini berjaya, dan cita-cita Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN