HULU TERENGGANU: Pekebun di Kampung Hulu Sat, di sini resah apabila sekumpulan gajah kembali berkeliaran menceroboh dan musnahkan tanaman mereka sejak hampir seminggu lalu.
Kehadiran kumpulan haiwan itu mengulangi semula senario yang terpaksa dihadapi mereka sekitar dua tahun lalu apabila kawasan kebun penduduk diceroboh gajah sehingga berlarutan berbulan-bulan.
Seorang pekebun, Mohd. Zahari Sulaiman, 71, berkata, dalam kejadian terbaharu, kebunnya dua kali diceroboh gajah sehingga pokok kelapa sawit yang ditanam Ramadan lalu musnah.
“Sejak kebun penduduk di Kampung Hulu Sat ceroboh gajah kali pertama dua tahun lalu, haiwan berkenaan ada dikesan berkeliaran tetapi tidak menyebabkan kerosakan atau kemusnahan tanaman serius.
“Hampir setahun tiada, seminggu kebelakangan ini kami dikejutkan dengan kejadian hampir sama pernah dihadapi apabila banyak tanaman di kebun dimusnahkan kumpulan gajah.
“Setakat yang saya tahu, kira-kira enam pekebun terlibat sehingga kini yang terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit. Saya sendiri rugi lebih RM7,000 sejak kebun mula diceroboh gajah,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan pada 3 Mei lalu dan tindakan sewajarnya sedang dilakukan para petugas di lapangan termasuk melakukan kawalan serta pemantauan di kawasan berkenaan.
Pada September 2023, Utusan Malaysia menyiarkan laporan hampir 30 pekebun di Kampung Hulu Sat terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM500,000 selepas tanaman sawit dan buah-buahan mereka dimusnahkan gajah.










