KUALA KRAI: Kegagalan memotong kenderaan lain dipercayai menjadi punca kepada tiga sekeluarga maut sebelum kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas di Kilometer 104, Jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran Sungai Sam di sini hari ini.
Kemalangan pukul 11.50 pagi itu menyebabkan pemandu kereta jenis Perodua Myvi, Mohamad Faris Kamaluddin, 24, bersama isteri, Nur Atikah Najihah Mohd. Shah Penilzain, 18, dan ibu kepada remaja itu, Nurul Ain Abdul Rahim, 39, maut dilokasi selepas dipercayai mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, siasatan awal mendapati, ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Johor Bahru, Johor dalam perjalanan dari arah Gua Musang menghala ke Kota Bharu.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai cuba memotong kenderaan lain, namun gagal sebelum bertembung dengan sebuah bas ekspres yang datang dari arah bertentangan.
“Ketiga-tiga mangsa yang tersepit di dalam kereta itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Siasatan lanjut mendapati, laluan tersebut merupakan garisan berkembar dan had laju di lokasi kejadian adalah 90 kilometer sejam,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mazlan memberitahu, pemandu bas ekspres yang berusia 43 tahun hanya cedera ringan akibat terkena serpihan cermin.
Katanya, kesemua 45 penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra di sini untuk dibedah siasat. Siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 masih dijalankan,” ujarnya.-UTUSAN