PSG julang trofi Eropah selepas belasah Inter Milan 5-0

PSG julang trofi Eropah selepas belasah Inter Milan 5-0

PEMAIN-pemain Paris Saint-Germain meraikan kejayaan menjuarai Liga Juara-Juara Eropah selepas membelasah Inter Milan 5-0 pada perlawanan akhir di Allianz Arena, Munich, pagi ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNICH, Jerman: Paris Saint-Germain (PSG) memenangi Liga Juara-Juara buat kali pertama dengan membelasah Inter Milan 5-0 dalam perlawanan akhir paling berat sebelah dalam sejarah kejohanan itu di Allianz Arena pagi ini.

Pemain remaja, Desire Doue, 19, menjaringkan dua gol untuk PSG dan mencipta gol pembukaan untuk Achraf Hakimi sebelum Khvicha Kvaratskhelia menjadikan kedudukan 4-0, dan pemain gantian berusia 19 tahun, Senny Mayulu melengkapkan jaringan.

PSG tidak menunggu lama apabila mendahului selepas 12 minit menerusi Hakimi menyepak masuk hantaran daripada Doue.

Pasukan Paris itu menggandakan kedudukan lapan minit kemudian apabila pertahanan mereka, Willian Pacho, menyelamatkan bola dari keluar di kawasan PSG dan gerakan pantas yang terhasil membolehkan Doue melepaskan rembatan yang terkena pemain lawan dan menewaskan penjaga gol Inter, Yann Sommer.

PSG menjadikan kedudukan 3-0 melalui satu gerakan yang dicipta oleh larian bertenaga Vitinha.

Dia bertukar hantaran dengan Ousmane Dembele sebelum menghantar bola kepada Doue yang terus merembat masuk ke gawang.

Perlawanan dimuktamadkan dengan penyudah rendah pemain antarabangsa Georgia, Kvaratskhelia, sebelum Mayulu menamatkan satu gerakan hantaran kemas dengan gol kelima PSG.

PSG yang dimiliki oleh Qatar menjadi kelab Perancis kedua selepas Marseille pada 1993 yang memenangi trofi tertinggi bola sepak Eropah. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN