IPOH: Nurul Izzah Anwar mampu menggalas tugas besar parti termasuk sebagai pengarah pilihan raya PKR dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) jika menang jawatan Timbalan Presiden.
Datuk Seri R. Ramanan yang bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan PKR berkata, ini berdasarkan pengalaman Nurul Izzah sebagai pengarah pilihanraya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bersama gandingan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Malah Ramanan yakin Nurul Izzah mampu memenangkan semula hampir 50 kerusi Parlimen pada PRU-16 buat PKR dengan memegang jawatan Timbalan Presiden.
“Kalau kali ini, Nurul Izzah jadi Timbalan Presiden serta Pengarah Pilihan Raya parti, saya ingat 50 kerusi Parlimen pun boleh (menang) berbanding 31 kerusi pada Pilihan Raya Umum pada 2022.
“Saya 101 peratus sokong saudari Nurul Izzah. Tiada pendirian lain. Sokongan ini kerana prestasi beliau, bukan sebab pilih kasih,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua-Ketua Cabang PKR Perak di sini hari ini.
Seorang lagi calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli sebelum ini memberi peringatan kepada Nurul Izzah untuk bersedia menjadi ‘panglima perang’ sekiranya dipilih menjadi Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu bulan ini.
Rafizi berkata, tanggungjawab itu perlu dipikul dengan baik dan untuk mendapatkan sokongan yang berterusan daripada akar umbi, Nurul Izzah juga perlu bersedia untuk melawan lawannya.
Kata Ramanan, Nurul Izzah yang digelar sebagai Puteri Reformasi pada 2018 berjaya mengepalai PKR untuk mencipta kejayaan menang hampir 50 kerusi Parlimen.
“Saya hendak parti menang lebih kerusi. Kalau sebelum ini semasa PKR bukan kerajaan, sebagai Pengarah Pilihan Raya (tahun 2018) beliau (Nurul Izzah) berjaya menangkan hampir 50 kerusi Parlimen.
“Tetapi dengan memegang jawatan Timbalan Presiden dan menjadi Pengarah Pilihan Raya, pada ketika PKR adalah kerajaan, bayangkan berapa banyak kerusi dan kekuatan semangat yang boleh diberikan kepada ahli-ahli parti untuk menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.
Sebaliknya beliau berkata, sekiranya PKR membiarkan ahli-ahli parti terus bercakaran, Ramanan tidak menolak PKR akan kalah teruk dalam pilihan raya akan datang. – UTUSAN










