Fahmi kecewa Pemilihan PKR jadi pentas sebar berita palsu

Fahmi kecewa Pemilihan PKR jadi pentas sebar berita palsu

FAHMI Fadzil ditemui selepas menghadiri Grand Finale: Bersama Membina Parti Kita di Hotel KSL, Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil kecewa apabila segelintir pihak menggunakan pentas Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini untuk menyebarkan berita palsu.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PKR enggan melayan dakwaan tidak berasas, sebaliknya memberi fokus terhadap pemilihan supaya berjalan lancar demi masa depan parti.

“Saya kesal sebab apabila diberi pentas, kadang-kadang maklumat tidak tepat, tidak betul disampaikan. Sebagai contoh dakwaan mengatakan Biro Politik telah bersetuju tidak membuat pemilihan tahun ini, itu tidak betul.

“Semasa kempen pemilihan berjalan, ia berjalan dengan baik tanpa sebarang isu, tetapi seminggu dua ini jadi hiruk-pikuk, sedangkan kita mahu damai,” katanya pada Grand Finale: Bersama Membina Parti Kita di Hotel KSL di sini, hari ini.

Fahmi turut mengingatkan calon-calon yang menang jawatan tertinggi untuk sentiasa menyantuni akar umbi dan tidak menjauhkan diri.

“Selepas pemilihan, apa yang penting adalah pemenang laksanakan perkara yang menjadi aspirasi akar umbi, luangkan masa bertemu akar umbi, jumpa ketua cabang dan anggota.

“Kita perlu ingat, PKR hanya akan menjadi lebih kuat apabila kita bersama, kita perlu bersatu padu untuk memastikan parti bergerak ke depan,” katanya.

Menurutnya, perkara itu penting kerana hanya dalam tempoh dua tahun, PKR perlu berdepan cabaran sebenar, iaitu pilihan raya umum (PRU) akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN