Fadhlina sokong Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR

Fadhlina sokong Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fadhlina Sidek menyatakan sokongannya terhadap Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden parti itu.

Katanya, ia bertepatan dengan kehendak akar rumput Keadilan yang menginginkan perubahan dalam parti yang berpaksikan kestabilan, kesinambungan dan kesetiaan kepada parti.

“Saudari Nurul Izzah adalah tokoh pimpinan muda yang lahir dalam arus centang perenang ketika Keadilan membina kekuatan di akar umbi.

“Beliau ada di setiap fasa, bermula dari gelombang merakyatkan reformasi, penubuhan parti, mencipta sejarah sebagai pasukan  pembangkang terkuat dalam sejarah Negara sehinggalah pembentukan Kerajaan Madani. 

“Mengangkat saudari Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden juga adalah cerminan kesungguhan parti untuk meneruskan tekad Islahiyy, memperkukuh parti, mengangkat keterlibatan pimpinan muda dan wanita dalam agenda pemberdayaan rejuvenasi politik negara,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Sebelum ini, PKR Selangor dan lima ketua cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Melaka antara yang menyatakan sokongan terhadap bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebagai calon Timbalan Presiden bagi sesi 2025–2028.

Tambah Fadhlina, Nurul Izzah sangat istiqamah berjuang dalam isu-isu kemanusiaan dan pemberdayaan wanita di peringkat antarabangsa.

Jelasnya, komitmen beliau yang cukup vokal dalam isu Palestin, kemiskinan multi dimensi, keselamatan wanita, keluarga dan kanak-kanak menjadikan beliau pemimpin figura yang diperlukan parti.

“Sebahagian besar akar umbi parti telah menyatakan sokongan penuh kepada Nurul Izzah untuk bertanding dan berfungsi secara efektif dengan ‘letak duduk’ sebagai orang dua dalam parti. 

“Ini bukan soal anak siapa. Ini bukan soal lelaki atau wanita. Ini bukan soal fraksi siapa. Ini soal kelangsungan sebuah parti keramat yang memerlukan tokoh rejuvenasi parti.

“Nurul Izzah, selayaknya saudari di posisi Timbalan Presiden, menavigasi parti ini bersama seluruh kekuatan angkatan dan pimpinan!,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN